Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti membebaskan segera lima pemimpin Hindraf yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika beliau benar-benar telah mendengar "suara rakyat" dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, dua hari selepas pilihanraya lalu, Abdullah dipetik dalam sebuah rencana di akhbar Asian Wall Street Journal pada 11 Mac lalu sebagai berkata beliau "telah mendengar suara rakyat dan akan menumpukan kepada usaha menangani perpecahan yang jelas berlaku sepanjang tempoh kempen pilihanraya umum lalu."
Lim berkata, Abdullah juga berkata akan mengambil inisiatif baru dan konkrit, dan bukan sekadar retorik semata-mata, untuk menyatupadukan rakyat dan memastikan tiada yang ketinggalan kemakmuran negara sama ada Melayu, Cina dan India.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Perdana Menteri bahawa satu punca terpenting berlakunya tsunami politik awa bulan ini dan kekalahan teruk BN ialah merosotnya undi kaum India sebanyak 35 peratus daripada 82 peratus.
"Kemerosotan sokongan pengundi India telah hampir-hampir melenyapkan MIC di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri - semuanya akibat daripada peminggiran selama ini kaum India di Malaysia dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan agama - yang telah melahirkan Hindraf dan fenomena Makkal Sakti (kuasa rakyat)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Lim bertanya, mengapa sejak 13 hari lalu, Abdullah tidak membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut, jika beliau benar-benar telah mendengar "suara rakyat".
Mereka yang meringkuk di Kem Tahanan Kamunting di Taiping: M Manoharan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - semuanya ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Dalam pilihanraya umum, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP di kerusi DUN Kota Alam Shah di Selangor dan menang dengan majoriti 7,184 undi.
Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.
Sehubungan itu, Lim berkata, beliau akan menulis surat kepada Abdullah sebelum mesyuarat kabinet Rabu depan supaya membebaskan segera tanpa syarat pemimpin-pemimpin Hindraf.
Katanya, pembebasan ini satu ujian terhadap Abdullah sama ada beliau benar-benar mahu mendengar hasrat rakyat selepas tsunami.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites