Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK pertahan dasar setinggan sifar
Diterbitkan:  Mar 28, 2008 2:56 PM
Dikemaskini: 5:39 PM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR hari ini mempertahankan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mencapai matlamat "setinggan sifar" di Selangor seperti yang disiarkan dalam temubual dengan Malaysiakini .

Sehubungan itu, setiausahanya Ahmad Zaki Yamani berkata, AMK kesal dengan kenyataan beberapa pihak yang mengandaikan bahawa kerajaan baru Selangor bawah PKR akan bertindak secara tidak berperikemanusian seperti pernah dilakukan bawah pentadbiran bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Adalah zalim untuk menganggap bahawa peneroka bandar perlu dibiarkan dalam keadaan mereka sekarang, tanpa sebarang usaha untuk mengiktiraf hak dan pegangan mereka secara sah ke atas tanah yang didiami atau ke atas tanah lain yang bersesuaian dengan keperluan kehidupan mereka.

"Persoalan pampasan, peluang pekerjaan dan sebagainya perlu diberikan perhatian utama di dalam sebarang usaha pembangunan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zaki berkata, AMK percaya bahawa menteri besar baru itu akan mencari jalan terbaik yang adil dan manusiawi untuk memastikan para peneroka bandar dapat keluar daripada status "setinggan" mereka.

"Setiap rakyat Selangor perlu diberi peluang yang adil untuk memiliki hartanah dan pada masa yang sama hak pemilik tanah dihormati dan diberi peluang untuk membangunkan hartanah mereka," tambahnya.

Menurutnya lagi, itulah "keseimbangan" yang perlu dicari seperti yang dinyatakan oleh menteri besar.

"Kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab dan penyayang. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perlu berperanan sebagai warga korporat yang prihatin.

Sediakan rumah

"Malah, sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid pernah mengemukakan idea-idea inovatif untuk memastikan rakyat termiskin sekalipun mampu memiliki hartanah, termasuk melalui skim pembiayaan jangka panjang antara generasi sehingga 60 tahun," kata Ahmad Zaki.

Oleh itu, katanya, AMK percaya menteri besar Selangor dan kerajaan negeri, akan mengemukakan pelan menyeluruh untuk mencapai matlamat setinggan sifar yang akan dilaksanakan.

"Sebarang cadangan dan komen sekarang sudah tentu akan membantu. Namun ia perlu dikemukakan melalui saluran yang betul dan membina," katanya.

Semalam, beberapa pihak termasuk Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) menyifatkan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk meneruskan dasar setinggan sifar itu sebagai "satu berita yang amat mengejutkan" semua peneroka bandar dan kumpulan masyarakat serta aktivis yang terlibat dalam isu tersebut.

Sebaliknya, kata Jerit, kerajaan Selangor harus berlaku adil kepada rakyat dengan memberikan rumah alternatif kepada semua peneroka bandar yang menghadapi masalah perumahan.

ADS