Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan - yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - tidak boleh berada "di dua tempat dalam satu waktu".
Beliau memberitahu pemberita demikian ketika ditanya sama ada Manoharan boleh menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
Dalam pilihanraya umum, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP di Selangor menang dengan majoriti 7,184 undi.
Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.
Mengulas desakan pelbagai pihak supaya Manoharan dan empat lagi pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dibebaskan, Syed Hamid berkata:
"Kita tidak bertindak berdasarkan saranan parti politik tetapi kepada soal keselamatan dan ketenteraman awam."
Pekerja asing
Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Syed Hamid berkata, mereka yang menang dalam pilihanraya umum tetapi berada dalam tahanan, masih perlu mematuhi undang-undang.
Sementara itu, Bernama memetik Syed Hamid sebagai berkata, terdapat kira-kira 200,000 pendatang asing asing sudah bekerja melebihi tempoh antara 10 dan 30 tahun di negara ini dan cuba mendapatkan taraf penduduk tetap walaupun mereka tidak layak.
Beliau berkata, kementeriannya akan menyelesaikan masalah itu kerana mengikut peraturan pekerja asing tanpa kemahiran hanya boleh bekerja maksimum lima tahun manakala pekerja asing berkemahiran boleh bekerja sehingga 10 tahun sahaja.
Katanya, terdapat 2.1 juta pekerja asing di negara ini dan mereka tidak mempunyai hak untuk mendapatkan taraf penduduk tetap atau kerakyatan walaupun mereka bekerja di negara ini.
Syed Hamid berkata kementerian juga akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah mengenai 60,000 pelancong yang datang ke negara ini dengan mendapatkan visa semasa tiba (VOA) tetapi tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
