Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Seksyen 15 dan 16 AUKU patut dipinda untuk memberi kebebasan yang lebih luas kepada pelajar menyertai aktiviti kampus.
"Pemuda Gerakan merasakan bahawa, pindaan AUKU harus menumpukan kepada kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, bidang kuasa kampus, kebebasan akademik, pentadbiran sendiri pelajar, kecekapan pentadbiran dan perjalanan pilihanraya kampus," katanya.
"Kita perlu faham bahawa pindaan AUKU adalah untuk memberi peranan lebih penting kepada generasi muda untuk sama-sama membina negara.
"Pelajar universiti sudah matang dan biarlah mereka menjadi lebih bertanggungjawab dalam bertindak dan bersuara.
"Marilah kita memberi para pelajar - Anak Malaysia kita - ruang kebebasan untuk bersuara," tegas Mah lagi.
Di samping itu, katanya, Pemuda Gerakan juga meminta kerjasama pihak universiti untuk mengamalkan sikap yang liberal dan lebih terbuka dengan membenar dan menyokong pelajar dan persatuan pelajar, menganjurkan program pelbagai kaum sebagai wadah ke arah membina negara.
"Kita harus mereformasikan universiti, yang menjadi tempat pembangunan modal insan," katanya.
