Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umum aset wakil rakyat lepas berkuasa
Diterbitkan:  Apr 1, 2008 4:38 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Transparency International Malaysia (TIM) menyarankan wakil rakyat dan pegawai awam hanya diminta mengisytihar harta mereka yang diperoleh selepas tarikh mereka menang pilihanraya atau dilantik memegang jawatan masing-masing.

Pengisytiharan harta mereka kemudiannya dikemaskinikan secara berterusan dan bukannya dua tahun sekali, kata Presiden TIM, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Di samping itu, katanya, rakyat juga mesti dimaklumkan segera apabila pegawai terbabit dan anggota mereka (termasuk isteri, anak-anak dan isteri mereka) memperolehi harta dan liabiliti baru.

Dengan itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini, wakil rakyat dan pegawai awam memulakan tugas mengikut konsep 'asas sifar'.

Di samping itu, katanya, pengisytiharan keseluruhan aset mereka, termasuk yang diperolehi sebelum menjadi wakil rakyat atau dilantik memegang jawatan awam, boleh mendedahkan mereka kepada bahaya dan ancaman keselamatan.

Bagaimanapun, kata Ramon, mereka tidak terkecuali atau terlepas daripada siasatan dan pendakwaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika mereka memperolehi aset secara tidak sah sebelum pemilihan atau pelantikan mereka.

Sambil mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa wakil rakyat diperlukan mengisytiharkan harta mereka, bdeliau berkata, TIM juga mahu pengisytiharan tersebut turut meliputi liabiliti.

'Nilai sebenar'

"Ini penting kerana kita perlu mengetahui 'nilai sebenar' mereka kerana ada sesetengahnya yang kadang-kadang meminjam lebih banyak daripada aset mereka dan terjebak dalam rasuah," katanya.

Sehubungan itu, TIM juga, kata Ramon, merayu kepada kerajaan supaya menjadi BPR sebuah badan bebas supaya dapat memerangi rasuah secara lebih berkesan lagi.

"Langkah ini meningkatkan kekuatan dan kewibawaan BPR dan meningkat sokongan rakyat," katanya.

Di samping itu, katanya, semua undang-undang yang berkaitan perlu diteliti dan dipinda untuk memerangi rasuah di semua peringkat.

Beliau berkata, ini termasu antara lain menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dengan segera.

"Kita mesti memerangi rasuah dengan penuh semangat sebagaimana kita mencapai kejayaan cemerlang dalam memerangi pengganas komunis," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, TIM berharap kerajaan akan mengamalkan strategi baru dan berinovasi untuk memenangi perang membasmikan kemiskinan sebelum ia menjejaskan masa depan Malaysia yang bersatu, progresif dan makmur.

ADS