Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hampir 2,000 ahli PBT, JKKK berundur
Diterbitkan:  Apr 2, 2008 12:59 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Semua 1,938 ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Kedah yang mewakili Umno meletakkan jawatan.

Peletakan jawatan itu, yang berkuatkuasa semalam, diarahkan parti itu selepas tewas di tangan pakatan pembangkang pada pilihanraya umum 8 Mac.

Ketua badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu dicapai pada mesyuaratnya di pejabat Umno di sini malam tadi, lapor Bernama hari ini.

Kedah kini dikuasai pakatan PAS-PKR selepas pembangkang, termasuk DAP, menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS menguasai 16 kerusi, PKR lima dan DAP satu setelah seorang calon bebas menyertai pakatan pembangkang.

Selain di negeri itu, 876 ketua kampung di seluruh Perak dilaporkan bersedia melepaskan jawatan masing-masing atas alasan mereka tidak sehaluan dengan kerajaan campuran pimpinan DAP, PAS dan PKR.

Seramai 13,140 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) akan menurut langkah yang sama pada 1 Mei ini.

ADS