Keputusan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak membebaskan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) merosakkan imej Perdana Menteri, kata DAP.
Tokoh utama parti itu Lim Kit Siang berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjanji untuk melakukan perubahan tetapi Syed Hamid enggan melihat isu itu daripada perspektif berbeza mesej pengundi dalam pilihanraya umum 8 Mac.
"Kenyataan Hamid terhadap desakan Samy Vellu untuk membebaskan lima aktivis Hindraf boleh digunakan terhadap dirinya sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Syed Hamid berkata presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berhak menyuarakan apa yang diperjuangkan oleh partinya.
"Tugas saya ialah menentukan apa juga isu yang dibuat, bukan satu keputusan berasaskan keputusan saya, tetapi berasaskan proses-proses yang diiktiraf undang-undang dalam menentukan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin," katanya.
Ahad lalu, Samy Vellu menggesa semua pemimpin gerakan itu dibebaskan - dua daripadanya dibebaskan lebih awal atas alasan R. Kenghadaran mengalami sakit teruk dan M. Manoharan menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam pilihanraya 8 Mac.
Semalam, bekas menteri kerja raya itu juga berkata dua lagi ketua Hindraf wajar dibebaskan - V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar - kerana "pembabitan mereka tidak begitu mendalam" dalam demonstrasi besar di Kuala Lumpur 25 Nov lepas.
P. Uthayakumar, seorang peguam dan aktivis sosial masyarakat India, pemimpin Hindraf yang kini meringkuk di kem tahanan Kamunting di Taiping.
