Pemuda Umno Kedah menyerahkan kepada akar umbi di semua bahagian di negeri ini untuk memilih dan mencalonkan individu bagi bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid berkata pihaknya tidak akan mempengaruhi mana-mana cawangan dan bahagian untuk mencalonkan sesiapa yang difikirkan layak bertanding.
Menurut Bernama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ayer Hangat berkata pemilihan perlu dibuat oleh golongan akar umbi supaya individu yang dipilih kelak mendapat sokongan padu di peringkat bawah.
Katanya Pemuda Kedah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi menjelaskan perkembangan semasa parti.
Beliau berkata pergerakan tersebut akan terus menyokong Hishamuddin dalam sebarang jawatan yang beliau berhasrat untuk bertanding kelak.
Sehingga ini, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir telah menyatakan kesediaan mereka untuk dicalon bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.
