Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal PKFZ: Ong kena jawab
Diterbitkan:  Apr 9, 2008 2:37 PM
Dikemaskini: 6:33 PM

Ahli parlimen DAP Lim Kit Siang menyambut baik kesediaan menteri pengangkutan Datuk Ong Tee Kiat membentangkan laporan penuh skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas menteri sebelumnya "lari" daripada menjawabnya di sidang Dewan Rakyat penggal lalu.

Penggal baru dewan itu bermula 28 April depan.

Sehubungan itu, Lim berkata sekurang-kurangnya lima soalan berkaitan skandal PKFZ yang memerlukan jawapan telus daripada Ong:

"Apakah benar Lembaga Pelabuhan Klang dan Kementerian Pengangkutan meneruskan pembelian 1,000 ekar tanah di Pulau Indah untuk PKFZ pada harga RM25 per kaki persegi (psf) walaupun dibantah keras oleh Pejabat Peguam Negara dan Perbendaharaan, yang memperakui tanah tersebut dibeli pada harga RM10 psf," katanya.

port klang free zone 120607 Menurut Lim, yang juga wakil Ipoh Timur, kabinet pula meluluskan projek tersebut dengan dua syarat: pertama, jaminan khusus menteri pengangkutan bahawa PKFZ menguntungkan dan menjana sumber kewangan sendiri dan kedua, tidak menggunakan wang kerajaan; dan bagi setiap RM100 juta variasi kos pembangunan, PKFZ perlu mendapatkan kelulusan kabinet terlebih dahulu.

"Syarat pertama telah dicabuli apabila kos projek PKFZ melonjak daripada RM1.1 juta kepada RM4.6 juta dan memerlukan campur tangan kerajaan untuk menyelamatkannya.

"Manakala syarat kedua juga dilanggari apabila kos asal pembangunan PKFZ sebanyak RM400 juta, melonjak kepada RM2.8 bilion tanpa kelulusan kabinet terlebih dahulu - iaitu bagi setiap RM100 juta pertambahan kos pembangunan," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Surat sokongan

Di samping itu, tambah Lim, menteri pengangkutan telah mengeluarkan empat surat sokongan kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) - kontraktor turnkey PKFZ - untuk mengeluarkan bon bernilai RM4 bilion, yang diterima oleh pasaran sebagai dijamin oleh kerajaan.

"Menteri pengangkutan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan jaminan kewangan bagi pihak kerajaan, kerana ia hanya boleh dikeluarkan oleh menteri kewangan dan selepas mendapat kelulusan kabinet," katanya.

chan kong choy mca and ministry of transport pissed Lim juga mahu Ong memberi penjelasan mengapa tiada tindakan diambil terhadap dua menteri pengangkutan sebelum ini, serta pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan empat surat sokongan tersebut, sehingga mengheret kerajaan terbabit sama dalam skandal PKFZ.

"Saya akan sekali lagi mendesak kerajan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal menyelamatkan PKFZ yang membabitkan RM4.6 billion.

"Saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai skandal PKFZ untuk dijawab dalam mesyuarat pertama parlimen ke-12, mulai 28 April depan," kata Lim.

ADS