Timbalan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan ahli-ahli akar umbi bebas menyuarakan rungutan mereka susulan kekalahan teruk BN dalam pilihanraya dan ketegangan dalaman akibat penolakan terhadap presiden, dan perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Tidak ada halangan (untuk) bercakap, bila kita kata jangan bercakap, nanti Umno tidak demokratik pula, tak boleh juga, nanti orang marah kita, jadi kita beri peluang mereka bercakap," katanya hari ini, lapor Bernama , mengulas dakwaan bahawa blog dan internet ketika ini dilaporkan lebih mewakili suara suara akar umbi.
"Berilah ruang kepada pucuk pimpinan, khususnya presiden parti, perdana menteri untuk memikir apa cara terbaik memulihkan parti, memulihkan keyakinan, yang penting kita dapat maklum balas, secara terbuka, secara ikhlas, (dan) kita akan serahkan pada pucuk pimpinan," beliau dipetik sebagai berkata.
