Dua persatuan penulis dan sebuah kongres kesatuan sekerja mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menarik balik keputusannya untuk tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, tindakan itu mencerminkan kerajaan tidak bersikap terbuka untuk mendengar suara rakyat.
Manakala Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula bimbang dengan nasib lebih 100 kakitangan akhbar tersebut, serta anggota keluarga mereka apabila akhbar tersebut ditutup.
"Kami menggesa menteri berkenaan supaya memikirkan tentang kesukaran yang akan menimpa anggota keluarga mereka nanti," kata setiausaha agung MTUC, G Rajasekaran dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, jika akhbar tersebut telah melanggar syarat-syarat permit, pihak KDN seharusnya memaklumkannya kepada pihak penerbit seperti sewajarnya.
"Terdapat banyak peruntukan dalam akta berkenaan untuk menghukum individu-individu terbabit dan bukannya menutup keseluruhan operasi tanpa memikirkan nasib 102 keluarga terbabit," katanya.
Di samping itu, katanya, tindakan KDN terhadap Makkal Osai mengesahkan kritikan bahawa kerajaan mengambil kesempatan daripada keperluan pihak akhbar untuk memperbaharui permit mereka setiap tahun, untuk mengugut dan mengekang kebebasan media.
CIJ dan WAMI juga sependapat dengan MTUC bahawa tindakan KDN itu boleh dianggap sebagai "hukuman" kerajaan terhadap akhbar Makkal Osai yang memberi liputan lebih banyak kepada pembangkang - berbanding harian lain - sewaktu pilihanraya umum lalu.
Menurut CIJ lagi, penolong setiausaha di KDN, Abdul Razak Abdul Latif enggan memberi sebarang sebab mengapa permit Makkal Osai tidak diperbaharui, kecuali berkata ia terserah kepada budi bicara menteri.
"Panggilan ke pejabat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar juga tidak berjawab.
"Pengurus Besar Makkal Osai, SM Periasamy berkata, pihaknya tidak dimaklumkan sebarang sebab dan ia kini dalam proses membuat rayuan," katanya.
