Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buka Umno untuk bukan Melayu?
Diterbitkan:  Apr 20, 2008 11:38 PM
Dikemaskini: 7:18 PM

Ahli akar umbi pergerakan Pemuda Umno di Johor mencadangkan parti itu membuka keahlian kepada kaum-kaum bukan Melayu seperti pernah disarankan oleh pengasasnya Datuk Onn Jaafar.

Cadangan itu termasuk 149 idea baru yang dikemukakan kepada pergerakan Pemuda negeri itu untuk memajukan lagi parti selepas kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac, kata ketuanya Razali Ibrahim hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan idea itu bukan pendirian pergerakan tersebut, lapor laman web The Star Online .

Razali juga mendedahkan, menurut laporan itu lagi, ahli-ahli akar umbi Umno berpendapat orang ramai tidak lagi yakin pada laporan media arus perdana dan akibatnya mereka mencari maklumat alternatif melalui internet.

Bagaimanapun ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih menganggap media alternatif ini menjadi punca kemerosotan pengaruh BN akibat elemen fitnah dan kekeliruan yang disebarkannya.

Dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia hari ini, beliau berkata:

"Ia (penyalahgunaan SMS) fenomena baru, tetapi ini tidak ada bezanya dengan keadaan yang suatu ketika dulu terpaksa dilalui oleh pemimpin-pemimpin Umno dan BN, iaitu serangan yang dilakukan melalui surat layang, surat khabar ‘nyamuk’ dan majalah-majalah.

"Walaupun apa yang disebarkan ada sesetengahnya menggunakan perkara yang benar, separuh benar dan fitnah semata-mata tetapi Umno dan BN terpaksa menanganinya.

umno 2007 pemuda keris 061107 kissing "Kini politik persepsi itu menggunakan pula SMS dan blog-blog bagi mempengaruhi rakyat," katanya.

Menjawab soalan "selepas perubahan bagi jawatan naib ketua Pemuda pada 2004 (sejak dipegang Khairy Jamaluddin), ramai berpendapat Datuk Seri (Hishammuddin) tidak mempunyai 'cengkaman' ke atas pergerakan itu, sebaliknya ia lebih dikuasai oleh individu-individu tertentu", Hishammuddin berkata "dengan kemudahan teknologi maklumat, akhirnya sesuatu perkara seperti tuduhan atau dakwaan yang tidak tahu kesahihannya disebarkan dan berjaya mempengaruhi orang ramai.

"Ini budaya baru yang bagi saya sudah wujud dan menjadi realiti."

Sambil menyifatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengembang "politik persepsi", beliau juga berkata: "Saya harus mengakui sememangnya ada kelemahan dalam Umno dan BN tetapi ia diburukkan lagi dengan kewujudan politik persepsi dan politik 'menakut-nakutkan' orang ramai terhadap pemimpin parti berkenaan. Ini termasuklah dalam isu saya menghunus keris."

Beliau juga mengulas kegagalan BN menjawab laporan-laporan di blog-blog sebagai punca kekalahan parti itu kali ini.

"Kita hanya perlu menjawab tuduhan yang tidak benar kerana orang ramai harus diberi pemahaman bahawa dalam perkembangan teknologi (ICT) sekarang, apa-apapun boleh dilakukan termasuklah mengubah suai gambar-gambar pemimpin bagi mewujudkan politik menakut-nakutkan ini," katanya.

Beliau juga enggan menerima kenyataan bahawa pengundi muda tidak menyokong BN akibat kegagalan pergerakan itu.

"Kita harus melihat dalam skop lebih luas. Kalau hendak tumpukan kepada generasi muda, bagaimana pula dengan guru-guru yang tidak berpuas hati dengan kita? Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan, golongan dewasa dan kaum lain?

"Kenapa kita bercakap soal pengundi muda Melayu menolak Umno? Bagaimana dengan pengundi-pengundi Cina dan India? Apakah peranan parti-parti komponen BN dalam menanganinya?

"Atas sebab itulah, saya tidak mahu melihat punca masalah kekalahan BN berkisar kepada kelemahan Pemuda Umno sahaja dalam menangani generasi muda."

ADS