Sekumpulan wakil rakyat mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas kebebasan media di peringkat Dewan Rakyat selepas pengharaman akhbar berpengaruh Makkal Osai minggu lepas.
Lapan ahli parlimen DAP, PAS dan PKR itu berkata mereka akan mencadangkan penubuhan Kaukus Kebebasan Maklumat dan Bersuara dalam sidang dewan yang akan berlangsung mulai 28 April ini.
Akhbar harian berbahasa Tamil itu tidak diperbaharui permit penerbitannya pada 16 April selepas dilaporkan membuat banyak liputan mengenai parti-parti pembangkang dan gerakan Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) menjelang dan pada pilihanraya umum lalu.
Kaukus yang disarankan ini bertujuan membincangkan isu reformasi perundangan berkaitan media, kebebasan maklumat agensi-agensi kerajaan dan peluang yang sama untuk memanfaatkan media milik kerajaan.
"Akta Penerbitan dan Mesin Cetak memberi kuasa yang amat besar kepada menteri dalam negeri untuk mengharamkan sesuatu akhbar.
"Kes Makkal Osai dan beberapa lesen akhbar di Malaysia Timur diharamkan pada penggal (pentadbiran) perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah akibat daripada undang-undang tersebut," kata kumpulan lapan wakil Pakatan Rakyat dalam kenyataan mereka hari ini.
"Kami menyambut baik kenyataan menteri (Datuk Seri Syed Hamid Albar) untuk menilai semula mekanisme lesen akhbar tahunan. Syarat tersebut menghalang akhbar bercakap benar, memberi kritikan dan cadangan baik kepada kerajaan.
"Kami berpendapat undang-undang seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak memberi ruang kebebasan kepada media," kata mereka lagi di sidang media di pusat khidmat DAP di Damansara.
Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching (foto kiri) berkata, "orang awam patut disedarkan tentang hak mereka. Oleh itu, semua pihak patut diberikan peluang menyuarakan pendapat masing-masing. Setiap akhbar mempunya idea dan kecenderungan sendiri. Perbezaan ini harus dinyatakan tetapi penilaian akhir di tangan rakyat sendiri."
Sementara ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee pula berkata "pengharaman tersebut dibuat atas alasan melanggar garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
"Tetapi mereka tidak pula menjelaskan garis panduan yang mana?"
Seorang lagi ahli parlimen DAP Charles Santiago mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan permit penerbitan akhbar harian berbahasa Tamil itu.
"Makkal Osai telah menunjukkan kredibiliti mereka dengan membuat laporan yang adil.
"(Tindakan KDN) ini merupakan hukuman kepada komuniti India berikutan kekalan MIC dalam pilihanraya umum yang lalu," katanya, yang juga wakil rakyat Klang.
Kelapan-lapan wakil pembangkang itu turut mengutus surat kepada Syed Hamid Albar hari ini untuk mengadakan pertemuan berhubung isu-isu media, termasuk pengharaman akhbar tersebut.
Mereka bercadang mengadakannya beberapa minggu lagi.
Mereka juga berhasrat mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen BN dan juga Pakatan Rakyat untuk menyertai kaukus tersebut.
Ketika ditanya tentang kemungkinan Makkal Osai diterbitkan bawah keizinan lima kerajaan negeri Pakatan Rakyat, ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, "akhbar ini tidak boleh dikawal oleh kerajaan negeri yang baru.
"(Tindakan) ini juga tidak menjamin kebebasan akhbar. Ia bukanlah alternatif yang bagus."
Mengulas ura-ura penerbitan akhbar bersama di lima negeri yang ditadbir Pakatan, ketua penerangan PKR Tian Chua menjelaskan bahawa perkara ini masih dalam proses kajian.
"Perkara ini masih samar-samar (sama ada perlu memaklumkan kepada KDN atau sebaliknya), tetapi kemungkinan (penerbitan) itu ada," katanya, yang juga ahli parlimen Batu.
Selain mereka, kumpulan itu disertai ahli parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS), ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan ahli parlimen Jelutong, Jeff Oii Chuan Ann - kedua-dua wakil rakyat DAP ini bagaimanapun tidak hadir di sidang media itu.
Mereka juga mengalu-alukan kenyataan Syed Hamid semalam untuk menghapuskan sistem pemberian permit setiap tahun seperti amalan sekarang.
Dengan cadangan baru itu, menurut menteri itu lagi, penerbit akhbar hanya perlu memohon lesen sekali sahaja dan permit yang diberikan bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak perlu diperbaharui setiap tahun seperti amalan kini.
Syed Hamid berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet tidak lama lagi.
Sementara itu Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) pula mencadangkan empat langkah ke arah kebebasan media.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengarah eksekutifnya Gayathry Venkiteswaran menyarankan kerajaan:
meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak bagi membolehkan keputusan kementerian memberi, atau tidak memberi, atau menarik balik permit penerbitan disemak melalui proses mahkamah,
menubuhkan panel bebas untuk menyemak syarat dan garis panduan penerbitan sama ada akhbar, majalah dan buku,
menyediakan pelan bertindak reformasi media, dengan hasrat ke arah memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak,
mengadakan rundingan dengan kumpulan-kumpulan berkepentingan dalam industri media mengenai tindakan-tindakan yang membawa kesan kepada kebebasan akhbar.
CIJ menambah, cadangan Syed Hamid tidak membawa kesan besar jika menteri masih dibenarkan menggunakan budi bicaranya sebebas-bebasnya untuk menarik balik, menggantung atau tidak memberi permit penerbitan seperti termaktub dalam akta penerbitan.
"Menghapuskan permit tahunan tidak membataskan kuasa mutlak di tangan menteri itu yang masih mengekang akhbar, kecualilah mahkamah dibenarkan mendengar pertikaian (penerbit) terhadap keputusan menteri," kata Gayathry lagi.
CIJ juga melahirkan rasa bimbangnya bahawa kenyataan Syed Hamid itu semata-mata untuk meraih populariti kerana ia disuarakan hanya beberapa hari selepas KDN mengharamkan akhbar Tamil itu.
"Makkal Osai tidak disambung permitnya sewaktu nasib sebuah lagi akhbar Oriental News Daily masih lagi tidak pasti. Kedua-dua akhbar ini paling lantang berbanding pesaing-pesaingnya," kata aktivis media itu, yang juga bekas seorang wartawan akhbar arus perdana.
"Jadi sangatlah wajar menteri berkenaan memulakan kempen kebebasan medianya dengan memberikan permit penerbitan kepada dua harian itu.
"Kami juga ingin menegaskan, sudah sampai masanya (kerajaan) menyemak garis panduan yang dikepilkan bersama syarat permit kerana kami percaya ia diwujudkan sebagai satu bentuk kekangan terhadap media."
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites