Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
55 NGO kecewa dgn k'jaan P. Pinang
Diterbitkan:  Apr 29, 2008 3:23 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) kecewa dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelantikan anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu yang dianggap "tidak demokratik, kurang rundingan dengan pihak awam dan tidak telus."

Pakatan untuk Urus Tadbir Baik (CGG), gabungan 55 NGO, berkata pelantikan itu memberatkan kumpulan perniagaan dan membelakangkan wakil-wakil NGO.

"CGG kecewa dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melantik ke majlis pihak berkuasa tempatan 36 anggota parti politik yang diragui kewibawaan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

penang local council election "Tambahan pula, daripada sejumlah tujuh wakil tanpa parti politik, perwakilan berlebihan yang diberikan kepada kumpulan perniagaan (lima anggota) berbanding kumpulan NGO (dua anggota) sama sekali tidak boleh diterima," kata jurucakapnya Yap Swee Seng hari ini.

"Cara kerajaan Pulau Pinang melantik anggota majlis pihak berkuasa tempatan tidak demokratik, kurang rundingan dengan pihak awam dan tidak telus."

Yap, yang juga pengarah eksekutif Suaram, berkata amalan di Pulau Pinang itu tidak sewajarnya ditiru oleh tiga lagi negeri Pakatan Rakyat - Selangor, Perak dan Kedah.

Sambil memuji langkah Selangor membuka ruang perundingan dengan NGO seperti janji menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 16 April, CGG juga senang dengan komitmen negeri itu untuk memperkenalkan enakmen kebebasan maklumat dan badan hisbah.

"CGG melihat (komitmen negeri) ini sebagai satu permulaan yang baik untuk kerjasama antara kerajaan Selangor dengan NGO," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

"CGG juga gembira menteri besar bersetuju mengadakan pertemuan berkala agar dialog antara dua pihak itu akan berlanjutan. Menteri besar akan bertemu lagi dengan CGG dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

suaram local election pc 280308 yap swee seng "Dalam hal ini, kerajaan Selangor telah menunjukkan jalan untuk dicontohi oleh semua kerajaan negeri."

Gabungan NGO itu bagaimanapun menggesa Selangor mengumumkan dasar rasmi, kriteria dan proses pemilihan anggota-anggota pihak berkuasa tempatan.

Dalam pertemuan mereka dengan dua exco kerajaan negeri Ronnie Liu dan Lee Kim Sin pada 9 April, kata Yap lagi, CGG dimaklumkan kira-kira 30 peratus perwakilan dalam PBT negeri itu diperuntukkan kepada NGO.

"Makluman secara tertutup itu masih tidak memadai," kata Yap.

CGG juga memandang berat kenyataan beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat yang berpendapat pilihanraya PBT boleh diadakan setelah mendapat persetujuan kerajaan persekutuan.

Ia menegaskan kerajaan negeri berkuasa untuk menggazetkan sejumlah kawasan melalui satu enakmen baru untuk tujuan pilihanraya tersebut, kata CGG lagi, bagi mengelak pertentangan dengan seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan dan bantahan kerajaan persekutuan.

CGG menyeru semua negeri bawah Pakatan agar menyediakan pelan tindakan ke arah melaksanakan pilihanraya majlis PBT.

"Keadaan dan struktur yang membolehkannya (pilihanraya itu) seharusnya disediakan tidak lewat daripada 2010," katanya, sambil menambah pilihanraya itu sewajarnya diadakan setahun kemudian.

ADS