Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Naza contoh kejayaan DEB
Diterbitkan:  May 2, 2008 3:01 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S M Nasimuddin S M Amin yang meninggal dunia semalam sebagai contoh kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya, Nasimuddin mempunyai pendekatan yang luar biasa bagi mengembangkan perniagaannya, bermula dengan hanya menjual kereta yang diimport dari luar negara, kemudian mara untuk mengadakan kerjasama dengan syarikat luar negara bagi mengeluarkan kereta tempatan dengan jenamanya sendiri.

Nasimuddin S.M Amin "Dia membuktikan bahawa DEB mampu menjayakan bumiputera kalau mereka menggunakan peluang itu dengan cara yang baik.

"Kalau semua yang dapat kemudahan yang sama seperti beliau berbuat demikian hari ini, kita mungkin mencapai lebih daripada matlamat DEB itu sendiri," katanya kepada di pemberita di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama , Nasimuddin, 53, yang menerima rawatan penyakit kanser paru-paru di sebuah hospital swasta di Long Beach, California sejak Januari tahun ini menghembuskan nafas terakhirnya semalam kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Jenazah allahyarham akan diterbangkan ke Malaysia dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 94 pada jam 1.40 pagi esok.

Dr Mahathir berkata beliau turut berbangga dengan kejayaan allahyarham apabila syarikat itu turut menceburi bidang-bidang lain yang tidak diperuntukkan hak-hak istimewa oleh kerajaan, termasuklah industri pengeluaran motosikal dan bidang perhotelan.

Turut menyifatkan beliau sebagai 'usahawan sebenar', Mahathir berkata allahyarham tidak pernah meninggi diri, sebaliknya sentiasa berbaik-baik dengan semua orang, termasuk pekerjanya sendiri.

Buka blog

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau menyertai dunia blog di atas permintaan orang ramai.

"Depa (mereka) nak saya buat, saya buatlah," katanya.

Beliau berkata selain daripada dapat menyampaikan pandangannya mengenai sesuatu isu melalui blognya, beliau juga menerima kritikan terhadap pandangannya itu.

"Banyak sangat. Tak larat nak tengok semua komen," katanya ketika ditanya mengenai sambutan orang ramai terhadap blognya itu.

Dr Mahathir memulakan blognya www.chedet.com tengah hari semalam dan sudah menerima 10,000 pelawat setakat jam 5 petang semalam.

ADS