Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tunggu arahan Peguam Negara
Diterbitkan:  May 3, 2008 2:54 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Polis menunggu arahan pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes jenayah seksual yang didakwa melibatkan seorang bekas menteri kabinet di sebuah

hotel lima bintang berdekatan Stesen Keretapi KL Sentral bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan ke pejabat Peguam Negara akhir bulan lalu.

"Siasatan polis telah selesai selepas keterangan diambil dari mangsa dan bekas menteri serta beberapa saksi. Kini terserah kepada AG untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas operasi pencegahan dadah di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Beliau berkata pejabat Peguam Negara sedang meneliti laporan kertas siasatan tersebut dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh terdekat, demikian menurut laporan Bernama.

Dalam kejadian 14 April lalu, mangsa yang bekerja di hotel tersebut dikatakan bertemu dengan bekas menteri itu sebelum dicabul.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada hari berkenaan, tetapi menarik semula laporannya beberapa hari kemudian.

Ekoran itu, peguam terkemuka Karpal Singh dilaporkan berkata, wanita berkenaan tidak boleh, mengikut undang-undang, menarik balik laporannya itu.

Katanya, seseorang yang membuat laporan polis, berisiko membuat laporan palsu dan terikat dengan kandungan laporannya.

Menurutnya, polis mesti menyiasat laporan wanita itu walaupun dia telah menariknya balik.

Karpal dilaporkan berkata, jika laporan terhadap bekas menteri itu didapati benar, polis tiada pilihan tetapi mesti mengambil tindakan terhadap bekas menteri itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara atau disebat, atau kedua-duanya sekali.

Sebaliknya, kata beliau, jika siasatan polis mendapati kandungan laporan itu palsu, maka wanita itu mesti didakwa kerana memberi maklumat palsu kepada polis mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga enam bulan penjara atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

ADS