|
Kira-kira 60 anggota polis, termasuk 30 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal di sekitar menara berkembar Petronas di KLCC tengahari tadi ekoran tersebarnya khabar angin bahawa satu perhimpunan anti-ISA akan diadakan jam 2 petang tadi. Bagaimanapun, perhimpunan tersebut tidak berlaku. Seawal jam 1:30 tengah hari, pihak polis kelihatan bersiap sedia di sekitar bangunan mercu tanda negara itu. Di antara menara itu dan Masjid As-Syakirin, kelihatan kira-kira 30 anggota polis berpakaian seragam menunggu dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Manakala kira-kira 30 anggota FRU kelihatan bersiap sedia di jalan Yap Kwan Seng yang berdekatan. Selain tiga trak FRU, sebuah trak meriam air, turut ditempatkan di situ. Ketika dihubungi wartawan kira-kira jam 3:15 petang, Presiden Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Jamal Ibrahim Syed Noh menafikan pihak merancang menganjurkan perhimpunan itu. Polis bersurai lebih kurang jam 3:30 petang. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku. Orang ramai juga tidak kelihatan berkumpul untuk tujuan itu. |