Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saranan gubal undang-undang murtad
Diterbitkan:  May 13, 2008 12:13 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Pemuda PAS Johor menggesa kerajaan melaksanakan segera undang-undang murtad supaya agama Islam tidak akan dipermain-mainkan.

Pergerakan itu menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang membenarkan permohonan seorang mualaf keluar Islam pada 8 Mei lalu sebagai memeranjatkan umat Islam negara ini.

"(Walaupun) apapun penghujahan yang diberikan terhadap kes ini, sehinggalah Siti Fatimah Tan Abdullah berjaya menukarkan status agamanya kepada agama Buddha, namun ia tetap bermakna bahawa Siti Fatimah telah keluar dari agama Islam," kata ketua dewan itu Khairul Faizi Ahmad Kamil.

"Perkara ini tidak disangkal lagi kerana realitinya Siti Fatimah telahpun mengucap syahadah ketika memohon untuk memeluk Islam pada tahun 1998," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika membenarkan permohonan Siti Fatimah kembali ke agama asalnya, hakim Othman Ibrahim berkata mahkamah tiada pilihan dan mengumumkan Siti Fatimah bukan lagi seorang Islam kerana wanita itu tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

Dalam permohonanya, Siti Fatimah atau nama asalnya Tan Ean Huang, 38, berkata beliau tidak pernah mengamalkan Islam sejak memeluk agama itu sedekad lalu.

Katanya, wanita itu memilih bertukar agama untuk berkahwin dengan seorang rakyat Iran, Ferdoun Ashanian. Pasangan itu berkahwin pada 2004 tetapi suaminya telah meninggalkannya.

Ekoran itu beliau memfailkan permohonan untuk keluar Islam.

Menurut Khairul Faizi, kes seperti yang dialami oleh Siti Fatimah sebenarnya bukanlah perkara yang pelik di Malaysia kerana bukan Islam menukar agama untuk berkahwin dengan orang Islam sudah menjadi perkara biasa.

Status tetap Islam

Katanya, sama ada penganut baru itu mengamalkan Islam atau tidak dalam kehidupan sehariannya, namun statusnya beliau tetap Islam.

"Pemuda PAS Johor percaya bahawa kes memeluk Islam kerana berkahwin - sekiranya tidak ada susulan bimbingan kepada penganutnya - akan menyebabkan seseorang itu tinggal Islam pada nama sahaja.

"Apa yang pastinya, dalam kes Siti Fatimah, beliau tidak pernah dipaksa untuk menganuti agama Islam, namun beliau telah bersetuju menganuti agama Islam kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Iran yang akhirnya meninggalkan Siti Fatimah tanpa khabar berita.

"Pemuda PAS Johor cukup bimbang dengan perkembangan ini, kerana keputusan kes ini sudah pasti akan menjadi kes rujukan kepada mana-mana kes yang akan dibawa ke mahkamah syariah pada masa akan datang.

"Seperti mana yang telah disebut oleh presiden MCA (Datuk Seri) Ong Ka Ting bahawa ia merupakan hak Siti Fatimah untuk memeluk Islam sebagaimana beliau juga berhak untuk kembali ke agama asalnya. Ia adalah sesuatu bagi beliau untuk memutuskan dan bukan pihak lain," tambah Khairi.

Oleh itu, tegasnya lagi, tidak mustahil selepas daripada ini, golongan mualaf yang terasa sudah tidak mahu lagi menjadi penganut agama Islam, akan menggunakan penghujahan yang sama - iaitu pemohon tidak pernah mengamalkan agama Islam sejak menganuti agama Islam, malah masih lagi menganuti agama asalnya.

"Kes ini juga bukan sahaja boleh dijadikan rujukan oleh golongan mualaf tetapi juga kepada penganut agama Islam sejak dari kecil, yang mereka telah diislamkan oleh keluarga mereka.

"Permohonan untuk menukar status agama akan berhujah di atas perkara bahawa pemohon tidak pernah mengamalkan ajaran agama Islam, seperti tidak penah berpuasa, sembahayang dan membayar zakat tetapi terpaksa menganuti agama Islam kerana telah ditentukan oleh keluarga.

Sehubungan itu, tegas Khairi, sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan akidah umat Islam di Malaysia.

Perkasakan institusi agama

Menurutnya, sebelum perkara ini akan menjadi lebih parah, selain melaksanakan undang-undang murtad, Pemuda PAS Johor juga mendesak agar kerajaan supaya:

bullet button Memperkasakan kembali institusi agama seperti Jabatan Agama, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah agar ia benar-benar dapat menjalankan perintah Allah tanpa sekatan dan halangan.

bullet button Mengadakan sesi kaunseling, temubual dan tarbiah kepada mana-mana pemohon yang ingin menganuti agama Islam, terutamanya kerana atas dasar ingin berkahwin.

Ini terbukti apabila Siti Fatimah menyebut bahawa beliau tidak pernah yakin dengan Islam walaupun telah memeluk Islam.

bullet button Mewajibkan kelas pendidikan agama secara berkala ke atas mualaf. Majlis Agama Islam tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak lain kerana perkara ini memerlukan perhatian yang serius.

"Pemuda PAS Johor juga mengesak agar tokoh-tokoh Islam termasuk mufti-mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya mengeluarkan pandangan dan pendirian mereka terhadap perkara ini.

"Pemuda PAS Johor menegaskan bahawa tujuan membangkitkan perkara ini bukan kerana Pemuda PAS negeri memusuhi mana-mana agama tetapi desakan ini dibuat atas dasar untuk menjaga kesucian agama Islam yang semakin dipandang rendah oleh pelbagai pihak.

"Lebih-lebih lagi selepas Islam Hadhari dilaksanakan di Malaysia, kefahaman umat Islam terhadap agama semakin bertambah bercelaru dan keliru," tegas Khairi.

ADS