|
Pihak berkuasa China berkata tidak ada warga asing yang cedera atau terbunuh dalam gempa bumi kuat di wilayah Sichuan semalam yang mengorban hampir 10,000 orang.
Bagaimanapun, pegawai-pegawai Malaysia di China sedang berusaha untuk memastikan semua rakyat Malaysia selamat. Konsul besar Malaysia di Kunming, Ayauf Bachi, berkata menurut pegawai-pegawai di pejabat hal ehwal asing di Sichuan, tidak ada laporan mengenai warga luar yang cedera tetapi pihak konsulat Malaysia akan terus berhubung dengan masyarakat Malaysia. "Kita harap semua rakyat Malaysia selamat. Kami menerima panggilan dari Malaysia meminta bantuan mencari saudara-mara. "Kami dapat berhubung dengan pihak berkuasa tempatan pagi ini dan mereka kata tidak ada rakyat asing yang cedera atau terbunuh, dan semua perhidmatan kecemasan dan yang relevan berjalan dengan baik," katanya kepada Bernama. Ayauf berkata, orang ramai telah dinasihatkan supaya berada di kawasan terbuka kerana bimbang akan berlaku gegaran susulan kepada gempa berukuran 7.8 yang menyebabkan banyak bangunan runtuh.
Persatuan Malaysia di Sichuan menerima SMS daripada lebih 20 rakyat Malaysia yang menyatakan mereka selamat. Persatuan itu sentiasa berhubung dengan pejabat konsul Malaysia di Kunming, ibu negeri wilayah Yunna, di selatan Sichuan. Naib pengerusi persatuan itu Kenny Lee memberitahu agensi berita itu bahawa ahli-ahli jawatankuasa persatuan sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di wilayah itu. Beliau menerima jawapan SMS daripada seorang bernama CP Lee, rakyat Malaysia yang telah lama bekerja di Sichuan, yang berbunyi: "Terima kasih tuan, kami nak balik kampung (ke Malaysia) tetapi tidak ada pesawat MAS".
Penerbangan Malaysia telah menamatkan perkhidmatannya ke Chengdu, ibu negeri Sichuan, lebih setahun lalu apabila syarikat itu melaksanakan penyusunan semula. "Walaupun setakat ini kami tidak pasti, kami yakin kerana kebanyakan rakyat Malaysia yang menghubungi kami menyatakan bahawa mereka dan rakyat Malaysia lain yang mereka tahu, adalah selamat dan mereka tidak menghadapi apa-apa masalah.
"Itu petanda baik," kata Kenny Lee, pengurus besar United Oversea Bank di Chengdu. Pekerja M'sia selamat Malam tadi, Kenny Lee dan keluarganya bermalam di tingkat lima apartmen mereka. Katanya kebanyakan rakyat Malaysia menginap di bangunan-bangunan baru yang lebih kukuh. Beliau berkata masalah makanan tidak timbul kerana banyak restoran dan pasaraya masih dibuka. "Bekalan air pun ada di sini," kata Lee.
Menurut beliau terdapat 100 rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat pembuat mikrocip, Unisem, di kilangnya di Chengdu, manakala 10 orang lagi rakyat Malaysia bekerja dengan Sichuan Malaya Glass, anak syarikat Malaya Glass Products. Lee berkata dua rakyat Malaysia, seorang daripadanya bekerja di bandaraya Mianyang dan seorang lagi di Mianzhu, 100 km dari Chegndu, juga telah menghubungi beliau untuk menyatakan mereka selamat. Bandaraya Mianyang adalah antara kawasan paling teruk dilanda gempa bumi itu dengan 3,000 orang dilaporkan terbunuh dan 10,000 cedera. |