Dua pemimpin MCA yang dinamakan semalam sebagai sebahagian daripada 'skuad pengintip' MCA, menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.
Malah, seorang daripada mereka, Ketua Pemuda MCA yang juga menteri kesihatan, Liow Tiong Lai, menafikatn dakwaan wujudnya skuad pengintip tersebut.
Dan seorang lagi yang dikaitkan dengan skuad pengintip itu - Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng - berkata, dakwaan tersebut bermotifkan politik.
Semalam, Penasihat MCA Petaling Jaya Utara, Wong Leong menamakan Liow dan Wee sebagai dua anggota skuad pengintip yang ditubuhkan untuk mengintip pemimpin MCA tertentu.
Beliau memberitahu demikian kepada panel siasatan tiga anggota yang ditubuhkan oleh parti itu, untuk menyiasat dakwaan berhubung skuad pengintip tersebut.
Wong mendakwa, presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting telah menubuhkan skuad tersebut untuk mendedahkan kehidupan peribadi pemimpin tertentu yang boleh mengancam kedudukannya.
Bercakap kepada Bernama lewat semalam, Liow berkata beliau akan menghadiri siasatan panel itu esok.
Panel tersebut diketuai olah Sak Cheng Lum. Dua lagi anggotanya ialah Datuk Michael Chen dan Roger Tan.
Liow berkata, beliau menyerahkan kepada panel tersebut untuk menyiasat dakwaan itu, sambil menambah, panel tersebut mesti membuat keputusan yang konklusif secepat mungkin supaya parti tidak membazirkan masa berhubung dakwaan tersebut.
"Adalah lebih penting bagi parti bersatu dan menggunakan segala tenaga untuk menghadapi ancaman dari luar," tegasnya.
Katanya, beliau juga akan hanya menimbang sama ada perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwa beliau terbabit dalam penubuhan skuad pengintip itu, selepas panel itu selesai menjalankan siasatannya.
Manakala Wee pula memberitahu bernama bahawa dakwaan terhadapnya itu mungkin kerana hubungan rapatnya dengan Liow.
'Bermotif politik'
Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai 'tidak masuk akal' dan bermotifkan politik.
Wee juga dijadual memberi keterangan kepada panel siasatan esok.
Dalam satu perkembangan berkaitan, bekas naib presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek menggesa panel itu supaya mempercepatkan siasatannya.
Katanya, jika benar dakwaan bahawa skuad pengintip itu ditubuhkan untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin tertentu, maka ia akan mencemarkan imej MCA dan menghakiskan sokongan kepada para pemimpin parti.
"Saya sedia tampil ke hadapan untuk memberi maklumat yang saya tahu," katanya kepada pemberita semalam.
Chua melepaskan semua jawatan parti dan jawatan menteri kesihatan serta ahli parlimen Labis Januari lalu selepas salinan DVD seks membabitkan dirinya diedarkan secara meluas di Johor.
"Siapa di sebalik rakaman DVD itu tidak lagi penting kerana ia sudah menjadi sejarah dalam hidup saya, tetapi yang lebih penting ialah memulihkan perpaduan parti," kata Chua.
