-    +  
Adjust font size:
Peperiksaan CLP dimansuhkan
May 14, 08 12:12pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan pemansuhan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) dan digantikan dengan Kursus Seragam Peguam (CBC) dan Peperiksaan Seragam Peguam (CBE).

Menurutnya, butiran lanjut mengenai pelaksanaannya akan diumumkan dua bulan lagi.

Peperiksaan CLP diwajibkan kepada pelajar lulusan ijazah undang-undang (LLB) dari universiti di England, Wales dan Ireland Utara serta universiti tertentu di Australia dan New Zealand, sebelum mereka dibenarkan menjadi peguam.

Peperiksaan tersebut dijalankan sekali setahun. Calon-calonnya diuji mengenai aspek umum perundangan, prosedur sivil, prosedur jenayah dan pembuktian serta amalan profesional.

Selama ini, para pelajar mengadu sukar untuk lulus peperiksaan CLP.

Peperiksaan itu juga dicemari oleh satu skandal apabila kertas ujian didakwa dijual kepada pelajar enam tahun yang lalu.

Selain itu, timbul juga dakwaan bahawa terdapat kuota lulus untuk bumiputera tetapi ia dinafikan oleh Lembaga Kelayakan Profesional Guaman.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mempertingkatkan (piawaian) amalan guaman," kata Zaid ketika ditanya sama ada ia adalah sebahagian daripada reformasi badan kehakiman yang dijanjikannya selepas dilantik menganggotai kabinet.

Zaid memanggil sidang akhbar itu untuk memperjelaskan lebih lanjut mengenai jawapan bertulisnya kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) hari ini.

Karpal bertanya sama ada kerajaan merancang untuk memansuhkan CLP yang dilaksanakan pada 1984.

'Tingkatkan kualiti'

"Apa yang kita harapkan, apabila ada CBC dan CBE ini, kita dapat kekalkan piawaian serta menghasilkan peguam yang berkualiti tinggi agar kita mempunyai industri dan perkhidmatan perundangan serta juga hakim bermutu tinggi," katanya, lapor Bernama.

Katanya, kursus dan peperiksaan itu wajib diikuti oleh setiap pelajar yang telah tamat dan menerima ijazah dalam jurusan undang-undang sama ada di dalam atau luar negara sebelum diterima berkhidmat sebagai peguam bela atau peguam cara.

"Jika mahu berkhidmat sebagai peguam, dia kena lulus CBE. Jika dia tidak mahu berkhidmat sebagai peguam, dia tidak perlu ikuti kursus ini. Ia hanya untuk peguam yang berkhidmat," kata Zaid.

Sebelum itu, dalam jawapan bertulis kepada Karpal, Zaid berkata satu kajian secara menyeluruh yang mengambil kira isu-isu utama seperti bentuk kursus CBC serta institusi yang akan mengendalikan kursus itu kelak, kini berada pada tahap terakhir sebelum kursus dan ujian baru itu dilaksanakan.

Katanya, kajian itu dikendalikan oleh jawatankuasa CBC yang dilantik oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia dan diterajui oleh seorang perunding dalaman yang bertindak sebagai penasihat yang dilantik oleh lembaga itu.

Beliau berkata, jawatankuasa CBC dianggotai seorang peguam bela dan peguam cara kanan yang aktif dalam amalan kepeguaman serta berkecimpung dalam bidang pengajaran undang-undang, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Majlis Peguam Malaysia dan wakil Agensi Kelayakan Malaysia.

"Kerajaan juga menetapkan bahawa kursus CBC dan peperiksaan CBE akan dikendalikan oleh sebuah badan bukan berkeuntungan yang disokong oleh kerajaan," kata Zaid.


广告

Diy Day Banner

Advertise here ( RM8/day )

Advertise here ( RM8/day )

Diy Day Banner