Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Notis mesyuarat agung luar biasa (EGM) Umno bahagian Muar akan dikeluarkan segera bagi membolehkan ia diadakan setelah tertangguh sebulan lepas akibat keengganan bahagian berbuat demikian.

Bahagian itu akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa hari ini untuk membincangkan persiapan EGM, kata penggerak utama usaha itu Datuk Kadar Shah Sulaiman.

Mesyuarat itu yang dijadual petang ini akan memutuskan tarikh untuk mengeluarkan notis mengadakan EGM, antaranya bertujuan memansuhkan sistem kuota pencalonan peringkat barisan pemimpin tertinggi.

“Kita berharap notis (memanggil mesyuarat EGM) dapat dikeluarkan hari ini atau selewat-lewatnya esok supaya EGM dapat diadakan dalam tempoh 14 hari (selepas notis),” kata Kadar kepada Malaysiakini hari ini.

Difahamkan, mesyuarat ini turut melibatkan ketua bahagian Datuk Mohd Ismail Mohd Shah, yang dianggap tidak bersedia mengadakan EGM apabila saranan ini dikemukakan awal April.

Ditanya tentang tarikh EGM bakal diadakan, beliau menjelaskan bergantung kepada mesyuarat petang ini.

“Tetapi bagaimana pun kita jangka akan buat pada hari Ahad untuk memudahkan ahli Umno datang (ke majlis itu),” katanya, antara penggerak usaha meminta bahagian mengadakan EGM.

Beliau membayangkan 25 Mei sebagai tarikh yang sesuai.

Sebelum ini, menurutnya, oleh kerana ketua bahagian tidak bersetuju, notis tidak dikeluarkan.

Katanya, keengganan Mohd Ismail mengadakan EGM akibat “salah faham semata-mata”.

Kadar berkata, beliau dan empat lagi anggota jawatankuasa berkenaan telah mengadakan pertemuan panjang dengan Mohd Ismail.

"Beliau (pada mulanya) salah faham. Beliau ingat kita hendak mempertikaikan kepimpinannya.

"Tetapi saya sendiri memberi jaminan kepadanya, kalau ada sesiapa berani mempertikaikan beliau, saya sendiri akan bangun tidak membenarkannya,” tambahnya.

"Alhamdulillah, sekarang beliau faham. Jadi kita sekarang tunggu surat (notis mengadakan EGM) saja," katanya lagi.

Mengulas kepentingan usul tersebut, Kadar berkata pemansuhan kuota pencalonan membolehkan ahli Umno menentukan dengan bebas pemimpin yang mereka kehendaki dan menjadikan mereka lebih berani bersuara.

Kuota pencalonan, tambahnya, menyebabkan tiada bahagian yang berani mencalonkan pencabar barisan pemimpin atasan, seperti yang terjadi kepada Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan parti 2004.

Ahli parlimen Gua Musang itu mendapat hanya satu pencalonan, daripada bahagiannya sendiri, walaupun beliau dijanjikan akan mendapat sokongan daripada banyak bahagian.

Mengulas teguran presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini agar Umno bahagian tidak mengadakan EGM dan menumpukan perhatian kepada usaha menguatkan parti, Kadar berkata:

“Perkara ini (mengadakan EGM) sah dari sudut perlembagaan. Ia adalah hak ahli Umno seperti termaktub dalam perlembagaan.”

Beliau juga berkata perhimpunan itu perlu diadakan sebagai landasan untuk ahli bercakap dan menyampaikan pandangannya.

“Sekarang kita kalah teruk. Kita perlu duduk dan bincang. Tidak ‘kan kita hendak tunggu (pilihanraya umum akan datang) 2013, baru kita hendak bincang lagi,” kata anak bekas pengerusi tetap Umno Tun Sulaiman Ninam Shah.

Beliau juga berkata EGM boleh menjadi landasan untuk ahli-ahli akar umbi Umno menyampaikan pandangan mereka.

“Orang Umno sekarang sudah bosan dengar arahan dari atas (pemimpin atasan). Sekarang, (mereka) yang di atas patut mendengar suara-suara daripada bawah (akar umbi) pula,” kata Kadar.

Setakat ini empat bahagian telah mengadakan EGM, antaranya Bandar Tun Razak dan Batu Pahat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS