Parti Rakyat Malaysia (PRM) menggesa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri memberi penjelasan berhubung dakwaan komisyen dibayar dalam urusan pembelian dua kapal selam Scorpene dan 18 jet pejuang Sukhoi.
Presidennya Hassan Karim berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan penjelasan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menteri pertahanan itu didakwa "ada kepentingan" dalam isu tersebut.
"Orang yang didakwa ada kepentingan tidak patut menjelaskan secara langsung atau tidak (langsung) bahawa beliau terlibat atau tidak terlibat.
"Penjelasan Najib tidak meyakinkan sesiapa," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kelmarin, ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, Najib menuduh pembangkang sengaja mengada-adakan isu komisen dalam pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat pejuang Sukhoi, semata-mata untuk membakar hati rakyat.
Beliau mendakwa tuduhan bahawa kerajaan membayar komisen bagi pembelian kapal selam dan Sukhoi adalah satu rekaan yang diatur, secara berterusan demi kepentingan politik pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
Sebelum itu, ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika membahaskan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong, membangkitkan isu berkenaan dengan mendakwa berlakunya rasuah dalam perolehan dua buah kapal selam Scorpene dan 18 buah pesawat pejuang Sukhoi.
Justeru itu, tegas Hassan, PRM berpendapat penjelasan Najib berhubung perkara tersebut sukar diterima rakyat.
"Sepatutnya perdana menteri yang lebih layak memberi penjelasan dalam soal ini kerana selain beliau mengetuai kerajaan, Abdullah juga adalah menteri kewangan.
"Perkara ini besar. Kerajaan membelanjakan RM4.5 bilion untuk membeli dua kapal selam Scorpene itu. Perbendaharaan dan menteri kewangan adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam soal pembayaran," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, PRM menyokong cadangan ketua pembangkang itu supaya sebuah suruhanjaya bebas dibentuk untuk menyiasat isu pemberian komisyen dalam urusan Scorpene dan Sukhoi itu.
