| Waytha Moorthy disaran balik M'sia |
|
Mei 16, 08 6:32pm |
Presiden Majlis Belia India Malaysia, A Rajaratnam meminta pengerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy supaya pulang ke Malaysia dan tidak meneruskan misinya untuk mendapatkan sokongan antarabangsa. Rajaratnam berkata tindakan pemimpin Hindraf itu, jika diteruskan, tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan terus menjejaskan nama negara di mata dunia. "Ini tidak baik untuk negara. Beliau perlu pulang," katanya kepada Bernama hari ini. Beliau mengulas tindakan Waytha Moorthy, seorang peguam, yang masih berada di luar negara untuk mendapatkan sokongan antarabangsa mengenai tuntutan Hindraf, terutama berhubung penahanan lima pemimpinnya bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Disember lalu. Pemimpin Hindraf berkenaan ialah peguam M Manoharan, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah; P Uthayakumar yang juga adik kepada Waythamoorthy; V Ganabatirau; R Kenghadharan; dan pegawai bank Vasantha Kumar, ditahan bawah ISA kerana terbabit dalam penganjuran demonstrasi di ibu negara pada 25 November lalu. Mereka juga dikatakan mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap kerajaan.
Untuk betulkan keadaan
"Sepatutnya dia sudah balik untuk hadapi kebenaran. Dia dah pergi UN (Pertubuhan Bangsa Bersatu) dan Britain.
"Pilihanraya umum juga sudah berakhir dan masyarakat India juga telah bersuara, jadi dia kena balik untuk betulkan keadaan," kata Rajaratnam. Beliau berkata Waytha Moorthy perlu balik untuk mendaftarkan Hindraf sebagai sebuah badan yang sah jika betul Hindraf benar-benar memperjuangkan hak dan kepentingan kaum India yang mereka dakwa ditindas di negara ini.
"Sekarang adalah masa untuk berdamai, meneruskan perjuangan dalam masyarakat bersatu padu. Lagipun, Hindraf sudah mempunyai suara di Parlimen, jadi gunakan suara itu untuk membangkitkan apa yang diperjuangkan," katanya.
Pensuruhjaya Suhakam yang juga pengarah eksekutif Yayasan Strategik Sosial Datuk Dr Denison Jayasooria pula berkata pemimpin Hindraf itu akan meneruskan misinya jika tuntutan mereka tidak diendahkan. "Kerajaan mesti secara serius melihat kemusykilan Hindraf dan kumpulan lain terutama mengenai isu ISA. Kerajaan tidak boleh mengelak.
"Kita kini dalam dunia global dan mempunyai banyak institusi global, seperti Transparency International, yang memantau keadaan ini," katanya.
Selesai di meja rundingan Presiden Persatuan Hindu Sangam Malaysia Datuk A Vaithilingam berkata beliau yakin perkara itu boleh diselesaikan di meja rundingan selepas MIC, parti politik yang mewakili majoriti kaum India di negara ini, mula bersuara secara terbuka mengenai tuntutan Hindraf. Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu sebelum ini meminta kerajaan membebaskan pemimpin Hindraf yang ditahan bawah ISA. Bagaimanapun menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Rabu lalu, berkata kerajaan tidak berhasrat berbuat demikian. "Ini semua boleh selesai melalui perbincangan. Kita boleh minta wakil kerajaan seperti pesuruhjaya tinggi Malaysia di Britain untuk bertemu dengan Waytha Moorthy dan berbincang mengenai tuntutan Hindraf itu," kata Vaithilingam.
Beliau bagaimanapun berkata adalah lebih baik jika pengerusi Hindraf itu balik ke Malaysia untuk menyelesaikan masalah. |
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|
 |
| |
|
|
|