Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia sedang menghadapi era ledakan maklumat yang bebas melalui internet, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tiada sesiapa yang boleh menghalang ia terus berkembang, kata menteri penerangan.

"(Sumber) media tidak lagi bergantung kepada televisyen, radio dan bahan bercetak semata-mata. Kita mesti bersedia menghadapi media baru ini," kata Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini ketika menyampaikan syarahan umum 'Cabaran Baru Mengurus Media dan Maklumat' anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia di kementeriannya pagi ini.

Beliau berkata keterbukaan dalam pengaliran maklumat sekarang sudah terserlah apabila kerajaan menambah lagi kapasiti jalur lebar.

"Ini bermakna pada prinsipnya kerajaan sudah pun mengizin dan mempermudahkan pengaliran maklumat sedangkan ada negara luar yang sekat terus," katanya.

Menurutnya lagi, ledakan media baru ini dianggap sebagai salah satu punca kemerosotan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya umum lalu.

Beliau juga mengakui peranan laman web dan blog dalam politik Malaysia, khususnya dalam beberapa pilihanraya umum kebelakangan ini.

" Laman Reformasi menjadi salah satu punca kekalahan BN dalam pilihanraya umum 1999. Bahan-bahannya dicetak dan diedarkan. Orang kampung percaya, kerana bagi mereka, komputer tidak akan berbohong," katanya.

Ahmad Shabery berkata rakyat Malaysia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam pilihanraya umum akan datang dengan penggunaan media baru ini secara lebih meluas.

Katanya, era kerajaan mengawal media semakin lama semakin berakhir kerana rakyat kini boleh memilih maklumat daripada media yang baru.

Beliau berkata dalam konteks perkembangan teknologi maklumat sekarang, keterbukaan itu tidak perlu ditakuti kerana media yang bebas tidak semestinya memberi kesan buruk terhadap sesebuah parti atau pemerintah.

"Misalnya di Sabah, akhbar mereka lebih bebas tetapi parti yang memimpin masih memenangi banyak kerusi pada pilihan raya baru-baru ini," kata Ahmad Shabery.

"Rakyat mahu tahu ke mana wang mereka dibelanjakan, perjalanan kerajaan dan isu-isu masyarakat. Kebebasan media tidak boleh dielak kerana rakyat banyak pilihan (media) dan proses ini perlu dibuat secara perlahan-lahan," katanya.

Beliau berkata keterbukaan maklumat ibarat makanan yang menjadi hak kepada semua.

"Jika disekat maka mereka akan menjadi gelojoh menyebabkan semua benda nak makan yang boleh memberi kesan buruk pada kesihatan.

"Makanan juga ada yang baik dan buruk, jadi masyarakat perlu menilainya demi untuk kesejahteraan hidup," katanya.

Kementeriannya telah mula mengundang penulis blog dan wartawan media internet dalam rancangan RTM sejak beliau memegang jawatan tersebut 18 Mac lalu.

Kementeriannya, tambah Ahmad Shabery, sedang mengkaji untuk memberikan kad pengenalan media kepada wartawan internet dan penulis blog.

Bagaimanapun, katanya, ia akan mengambil kira masalah logistik yang timbul apabila sesuatu sidang media atau tempat liputan terlalu kecil.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata kabinet terkilan dengan tindakan beberapa media yang menyiarkan kandungan laporan suruhanjaya diraja siasatan klip video VK Lingam sebelum ia didedahkan secara rasmi.

"Kita bimbang sekiranya dilakukan dengan cara yang tidak benar, ini bermakna akan lebih banyak rahsia kerajaan dapat mengalir keluar. Ini tiada kaitan dengan kebebasan akhbar tetapi ini perlindungan rahsia kerajaan.

"Jadi laporan polis itu wajar kerana ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan untuk melindungi soal-soal berkaitan keselamatan negara dan perkara ini patut dijadikan pengajaran kepada semua terutama pihak media," katanya, mengulas laporan Jabatan Perdana Menteri semalam terhadap beberapa akhbar yang mendedahkan butiran laporan suruhanjaya tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS