Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: M'sia patut bangga dengan Anwar
Diterbitkan:  May 17, 2008 5:51 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Rakyat negara ini seharusnya berasa bangga dengan penglibatan antarabangsa Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dalam Yayasan Masa Depan (FFF) dan bukan membuat tuduhan melulu seperti para pemimpin Umno, kata setiausaha agung PKR.

"Rakyat Malaysia sepatutnya menyatakan rasa bangga apabila pandangan komuniti antarabangsa memilih Anwar sebagai pengerusi lembaga pengarah FFF yang turut dianggotai oleh personaliti terkemuka dunia, dan juga memilih beliau sebagai salah seorang daripada 100 manusia berpengaruh di dunia - penghargaan yang buat pertama kali dianugerahkan kepada seorang rakyat Malaysia," kata Datuk Salehuddin Hashim hari ini.

anwar ibrahim pc 120508 03 Dalam kenyataannya menjawab tuduhan Datuk Mukhriz Mahathir di Dewan Rakyat awal minggu ini, beliau berkata ahli parlimen Jerlun dan rakyat Malaysia harus berasa malu dengan penglibatan bapanya mantan perdana menteri telah didedahkan membayar RM4.6 juta kepada pelobi Amerika Syarikat yang pro-Zionisme, Jack Abramoff, demi memastikan pertemuan antara Mahathir dan presiden George W Bush.

Salehuddin juga menyifatkan kenyataan ahli parlimen itu "dangkal dan dibuat dengan niat jahat" terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

FFF, tambah Salehuddin, membantu banyak gerakan demokrasi dan hak asasi di dunia Arab, termasuk di Palestin, Lubnan, Mesir, Yaman dan Jordan.

"Tidak ada sebarang keraguan yang perlu dibangkitkan daripada penglibatan dan hubungan kerja Datuk Seri Anwar itu. Sedihnya, hal yang sama tidak boleh dikatakan wujud pada mereka yang dekat dengan Datuk Mukhriz," katanya.

"Dr Mahathir sendiri telah mengaku bahawa wang yang dibayar untuk menjamin pertemuaan pada Mei 2002 tersebut hanyalah 'sesuatu yang normal'."

Anwar, tambahnya, tidak perlu membayar kepada sesiapapun untuk dijemput oleh mana-mana pemimpin antarabangsa dan pemimpin negara-negara luar, khususnya dalam kalangan dunia Islam yang memadang tinggi dan menerima pandangan beliau sebagai seorang negarawan dan pemikir.

Salehuddin juga mengulas catatan bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz di majalah Time dan ramalan sebuah artikel di akhbar Jerusalem Post tentang kemungkinan Anwar menjadi perdana menteri seperti dibangkitkan Mukhriz, Selasa lalu.

salehuddin hashim interview 110408 smile Salehuddin menyifatkan majalah mingguan tersebut memilih Wolfowitz sebagai pengulas personaliti Anwar - apabila terpilih sebagai seorang daripada 100 tokoh berpengaruh di dunia - sebagai "keputusan independen yang dibuat oleh sidang pengarang Time sendiri."

"(Dalam artikel itu,) Wolfowitz sendiri mengakui bahawa pendirian Anwar sendiri sangat kritikal mengenai perang (yang diketuai Amerika Syarikat) di Iraq dan Anwar dengan tegas menyatakan ketidaksetujuannya mengenai perang itu," katanya.

"Keputusan Anwar untuk tidak memutuskan hubungan baik menggambarkan sifat kenegarawanan beliau, kerana jelas, memutuskan hubungan tidak akan membantu sebarang usaha menghentikan perang mahupun menyumbang sebarang harapan damai di masa hadapan."

Mengulas analisis di akhbar Israel itu, Salehuddin berkata "sekiranya Mukhriz boleh membuktikan bahawa hanya Jerusalem Post yang menjadi satu-satunya akhbar di dunia ini yang memainkan spekulasi bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri Malaysia, maka (bukti) itu bolehlah dijadikan asas kepada tuduhan beliau yang bersifat melulu tersebut."

"Secara objektifnya, seluruh dunia kini memerhatikan kebenaran terserlah dengan perkembangan politik, kebangkitan rakyat, dan kejatuhan Barisan Nasional dewasa ini secara khusus menjadi petanda bahawa potensi Anwar untuk menjadi bakal perdana menteri Malaysia adalah benar," tambahnya.

ADS