Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno akan menghidupkan semula Kelab Ahli Parlimen Umno untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan parti dan ahli-ahli Umno.

Perkara tersebut dipersetujui dalam perjumpaan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan ahli-ahli parlimen Umno hari ini.

Kumpulan tersebut akan dipengerusikan oleh ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman.

Dalam perjumpaan selama 35 minit itu, perdana menteri telah memberi penerangan kepada mereka mengenai isu-isu semasa.

Ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan tidak kelihatan menghadiri perjumpaan tersebut.

Abdullah juga mengambil peluang untuk mendapatkan maklum balas daripada wakil rakyat Umno yang hadir.

Sementara itu, ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, keputusan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno turut dibincangkan.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan secara umum selama kira-kira lima minit.

Isu lain yang turut dibincangkan termasuk mengenai pembangunan luar bandar.

Setia pada parti

Perdana menteri juga, kata Razali, menegaskan perlunya bagi ahli-ahli Parlimen Umno terus setia kepada parti.

Ditanya mengenai respons dari ahli parlimen Umno, Razali berkata, mereka telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Abdullah.

Manakala ahli parlimen Kalabakan, Datuk Ghafur Salleh juga mengesahkan bahawa isu mengenai tindakan Dr Mahathir keluar Umno dibincangkan selama lima minit.

Katanya, kebanyakan ahli parlimen Umno merasakan tindakan Dr Mahathir itu tidak akan menjejaskan parti.

Ghafur berkata, beliau juga memberi pandangan bahawa tindakan keluar masuk parti adalah perkara biasa yang tidak perlu dirisaukan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tindakan Dr Mahathir itu tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai bekas pemimpin besar Umno.

Abdullah dijangka mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan para menteri esok.

Sementara itu, menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata, tiada siapa yang lebih besar daripada parti.

"Kita perlu memberi sokongan kepada Datuk Seri Abdullah sebagai ketua parti," katanya dalam satu sidang akhbar.

Sebaliknya, tegas Nazri, tindakan Dr Mahathir itu akan hanya menguatkan lagi Umno.

Menurutnya 95 peratus daripada 78 ahli parlimen Umno hadir dalam perjumpaan dengan perdana menteri.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir kerana berada di luar negara.

"Melalui wakil ahli parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz, ahli parlimen kita telah menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada perdana menteri untuk terus memimpin Umno dan Barisan Nasional.

"Kita juga menyatakan bahawa tidak ada dalam pengetahuan kita mana-mana ahli Umno yang akan meninggalkan parti berdasarkan permintaan Tun Dr Mahathir semalam," katanya.

ADS