Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPN: Siasatan kes Karpal siap
Diterbitkan:  May 22, 2008 3:03 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Siasatan terhadap pengerusi DAP Karpal Singh berhubung kenyataannya yang menyentuh Raja-raja Melayu telah siap sepenuhnya, kata ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata pihaknya kini menunggu arahan Jabatan Peguam Negara (AG) untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan telah dibuat dan kita tunggu arahan daripada AG.

"Saya tak nak komen apa-apa tentang ni, tanya AG," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek oleh Hernikwon Corporation Sdn Bhd kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini.

Pada 25 April lalu, satu laporan polis dibuat terhadap ahli parlimen Bukit Gelugor berhubung kenyataannya bahawa ucapan Tengku Mahkota Kelantan telah menghina kaum bukan Melayu, manakala laporan yang dibuat di Ipoh pada 5 Mei lalu pula mengenai kenyataannya bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury.

Menurut laporan Bernama , 21 laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan Karpal di seluruh negara.

Di majlis itu, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Hernikwon Corporation Datuk Bryce Kwon menyerahkan cek bernilai RM100,000 kepada Musa untuk membantu anak-anak anggota polis yang berjaya dalam pelajaran.

Pada 2006, syarikat itu menyumbang jumlah yang sama untuk 338 anak-anak anggota di seluruh negara.

ADS