Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hindraf 5 fail sekali lagi habeas corpus
Diterbitkan:  May 30, 2008 8:41 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang kini ditahan di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping hari ini sekali lagi memfailkan permohonan habeas corpus bagi membebaskan mereka daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan alasan keputusan Yang di-Pertuan Agong meneruskan penahanan mereka tidak sah.

bm lima tahanan hindraf Permohonan R. Kengadharan, 41; M. Manoharan, 46; V. Ganabatirau, 34; P. Uthayakumar, 46, dan K. Vasantha Kumar, 34, difailkan melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Co. di bahagian pendaftaran Mahkamah Tinggi di Ipoh, kira-kira jam 3.45 petang.

Menurut laporan Bernama, notis usul itu turut disertakan dengan afidavit sokongan yang diikrarkan mereka dan diserahkan sendiri oleh peguam cara kelima-lima pemohon, Karpal Singh.

Semua pemimpin Hindraf itu, selaku pemohon, menamakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan penguasa Tempat Tahanan Perlindungan Taiping sebagai responden.

Dalam notis usul itu, lima pemimpin Hindraf berkenaan memohon dibawa ke mahkamah dan dibebaskan dengan secepat mungkin selaras dengan peruntukan di bawah Artikel 5(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan mereka, lima pemimpin Hindraf itu memberikan alasan bahawa perintah Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan penahanan mereka pada dan selepas 26 Mac lalu adalah batal dan tidak sah.

Mereka menyatakan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong itu yang dibuat atas syor Lembaga Penasihat tidak mengikut seksyen 8B(1) dan oleh itu, ia cacat kerana tidak mengikut prosedur yang memberikan mereka hak untuk perintah habeas corpus.

Menurut kelima-lima pemimpin Hindraf itu, Lembaga Penasihat berkenaan tersilap kerana tidak mengguna pakai cara-cara asas inkuiri kehakiman yang dikehendaki undang-undang semasa mendengar representasi mereka pada 12 Februari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS