Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan memungkiri janjinya untuk melaksanakan perubahan, khususnya memberi kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan badan Kehakiman.

ezam md noor and pak lah Ezam berkata beliau percayai Abdullah benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikannya itu dan ini mendorong beliau (Ezam) untuk kembali semula ke pangkuan Umno.

"Apabila PM buat keputusan beri kebebasan kepada BPR, bagi saya ini adalah satu milestone (peristiwa penting), ada ruang untuk saya teruskan apa juga yang saya percaya dan mahu perjuangkan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini.

Sehubungan, katanya, bagi menghilang sebarang keraguan rakyat terhadap janjinya, Abdullah perlu mengotai janjinya dalam dalam penggal pilihanraya kali ini juga.

Ezam menegaskan demikian ketika ditanya sama ada beliau benar-benar yakin Abdullah akan melaksanakan perubahan yang dijanjikannya itu atau semata-mata untuk memperalatkan beliau bagi mengembalikan kekuatan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Ezam berkata, apa yang dilakukannya, termasuk keputusannya untuk kembali semula kepada Umno, adalah konsisten dengan apa yang diperjuangkannya selama ini untuk membawa perubahan besar dalam BPR bagi membanteras amalan rasuah.

"Keputusan saya masuk Umno bukan atas individu tetapi betul-betul atas dasar reform. Kalau ikut pemimpin, saya sudah masuk pada tahun 2004 ketika Pak Lah kuat.

Perubahan besar

"Saya tidak mahu keputusan saya dihambat oleh keputusan politik sehingga cita-cita reform saya terbantut," katanya.

Ezam berkata, walaupun sukar untuk dinyatakan sekarang sama ada reform itu akan berjaya "tetapi sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu" berbanding dengan pentadbiran sebelumnya.

"Sebelum ini, kita tidak pernah mimpi sebuah suruhanjaya akan ditubuhkan untuk menyiasat kes pita Lingam. Sekurang-kurangnya (sekarang) ada perubahan besar, berbanding dengan pentadbiran sebelum ini yang (bersikap) tertutup," katanya.

Beliau berkata, dasar kebebasan BPR adalah sesuatu yang besar "yang kita tidak pernah terfikir dahulu".

"Semasa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dalam kerajaan dulupun, paling hampir yang Anwar buat ialah beri sedikit 'empowerment' (kuasa) kepada BPR…," tambahnya.

Ditanya sama ada beliau perlu kembali semula kepada Umno untuk menjayakan agenda reformnya, Ezam berkata, Abdullah percaya beliau boleh memainkan peranan yang lebih penting dalam Umno.

"Setelah berbincang dengan kawan-kawan, saya rasa ada baiknya untuk saya masuk Umno - berganjak dari sivil society kepada politik bukan perkara mudah - saya nampak kita perlu nampak elemen yang kuat dan bersungguh-sungguh dalam parti dan kerajaan untuk membantu. Kalau di luar orang masih lihat kita kritik.

"Dulu pembangkang sebut tentang reform tetapi kerajaan (kini) pun ada sebut. Jadi saya pilih kuasa bukan kerana hendakkan kuasa, tetapi (kerana ada) keberkesanannya bila ada kuasa untuk melakukan reform. Saya tidak mahu sentuh alasan politik tetapi atas alasan fundamental. Kalau ada peluang ke arah itu, saya akan ambil," katanya.

Tidak minta jawatan

Ditanya sama ada Abdullah ada menjanjikan sebarang jawatan bagi membolehkannya menerus agenda reform tersebut, Ezam berkata:

"Saya tidak ada rancangan atau hasrat pun, tak ada, fokus saya ialah macam mana nak bantu reform. Dalam pertemuan dengan perdana menteri, saya tidak minta jawatan.

"Cuma beliau sebut 'nanti kita fikir apa ruang untuk you'. Saya minta apa jua ruang yang dapat membantu saya memperkuatkan agenda reform...Keprihatinan saya ialah sama ada ia boleh perkuatkan reform...Kalau ada kedudukan yang bantu perkuatkan reform. Setakat ini tidak ada jawatan jelas."

Ditanya tindakan selanjutnya jika Abdullah gagal melaksanakan reform yang dijanjikan itu, Ezam berkata: "saya ingin tegaskan walaupun ia mungkin kontroversi.

"Kesetiaan saya bukan pada parti atau individu, tetapi kesetiaan saya adalah pada reform," katanya sambil menambah bahawa itulah prinsip yang dipegangkan para pemimpin reform teragung di dunia.

Ditanya mengenai laporan polis yang pernah dibuat terhadap perdana menteri sebelum ini, Ezam berkata:

"Saya tetap pegang dengan apa yang saya sebut dalam pertemuan dengan PM, tidak ada perbincangan tentang tarik balik laporan yang saya buat. Beliau tidak minta dan saya pun tidak tawar.

"Saya tidak pernah tarik laporan polis. Apa yang saya buat adalah konsisten dengan apa yang saya lakukan. Saya masuk Umno untuk bawa perubahan besar dalam BPR, PM beri kebebasan kepada BPR mungkin kerana PM rasa dia bersih dari laporan (tersebut)."

Bhgn 11: Pengakuan Ezam Mohd Nor

ADS