Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) akan mengambil kira semua bidang, termasuk naib canselor, senat dan dekan, kata menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Auku adalah suatu akta yang mengandungi pelbagai peruntukan yang bukan saja mengenai pelajar, tetapi juga mengenai sumber kuasa universiti, pentadbir universiti, kepimpinan universiti dan sebagainya.
"(Juga mengenai) kepimpinan universiti seperti ahli lembaga pengarah, senat, naib canselor, dekan dan sebagainya.
"Oleh itu, pindaan-pindaan kepada Auku bukanlah semata-mata menjurus kepada kegiatan pelajar dan sebagainya. Saya tidak mahu menyentuh kandungan kepada pindaan itu kerana tidak wajar, kerana kita akan bawa ke parlimen," katanya.
Draf pindaan itu kini sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan kepada jemaah menteri bulan ini, tambahnya hari ini.
"Saya mengharapkan supaya dalam bulan Jun ini (dibentangkan kepada kabinet). Tapi nampaknya Jabatan Peguam Negara belum lagi...
"Tetapi, walau apa pun, dalam tahun ini jugalah sebab lepas Jun kita ada lagi satu sidang parlimen bermula Ogos," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Biasiswa Bertaraf Dunia Taylor anjuran Kolej Universiti Taylor di Kuala Lumpur hari ini.
Pindaan itu bertujuan "menimbulkan suasana yang kondusif bagi menentukan kecemerlangan pelajar."
"Hanya saya ingin menyatakan bahawa, (tujuan pindaan) ke arah mencapai kecemerlangan di universiti, melahirkan persekitaran yang kondusif dalam universiti, menentukan kecemerlangan kepada pelajar," tambahnya.
Menurutnya lagi, ia akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen tahun ini.
Mengulas isu akta itu dianggap menghalang kebebasan bersuara di universiti, beliau berkata pelajar kini lebih bebas bersuara.
"Kita sudah menentukan larangan-larangan dalam akta sedia ada. Tetapi kalau kamu prihatin terhadap realiti, oleh kerana langit terbuka, kelebihan dalam pencapaian ICT, saya rasa mereka bebas untuk menyampaikan pandangan mereka.
"Dan perkara paling penting adalah tiada tindakan diambil di bawah Auku," katanya.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites