Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dua pemain bola sepak Perlis yang didakwa menerima wang RM36,000 untuk mengatur keputusan satu perlawanan.
"Minggu lepas BPR menahan tiga orang berkaitan dengan (kes) rasuah bola sepak di Perlis.
"Dua daripadanya adalah pemain dan seorang (lagi) pengatur perlawanan.
"Daripada tangkapan kita, didapati seorang (pemain) telah dibayar sebanyak RM 13,000 dan seorang lagi 23,000," kata timbalan ketua pengarah I BPR Datuk Abu Kassim Mohamed.
"Ia bertujuan memastikan pasukannya (Perlis) kalah dalam pertandingan tersebut. Memang pun pasukan itu kalah di akhir perlawanan tersebut."
Perlis tewas kepada Pahang 0-1 dalam perlawanan pada 19 April. Sebelumnya pasukan negeri itu berjaya menewaskan pasukan polis.
Abu Kassim, tambahnya, siasatan sekarang sudah di peringkat akhir dan akan dikemukakan kepada peguam negara.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan nama-nama mereka dan perlawanan berkenaan.
Pertandingan Liga Super musim lalu berakhir 4 Mei lalu, hari Perlis menewaskan Kedah 1-0.
Minggu lalu, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menjelaskan lima pemainnya terlibat mengatur keputusan beberapa perlawanan musim lalu.
Pengurus pasukan Datuk Ismail Kassim dilaporkan berkata kemerosotan mengejut prestasi pasukan itu menyebabkan pengurusan pasukan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 28 April lalu.
Abu Kassim turut mendedahkan kemungkinan terdapat unsur-unsur dan perbuatan rasuah dalam kes pendaftaran kereta yang diseludup dari negara asing melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan jabatan kastam.
"Apabila disemak dengan JPJ, butir-butirnya didapati ia terdapat di dalam pengkalan data ataupun dalam rekod JPJ sebagai kenderaan yang sah," katanya.
Sepanjang operasinya Mei lalu, badan itu telah menahan lima orang dan tujuh kereta Mercedes bernilai RM1.2 juta, kata beliau.
Menurut Abu Kassim lagi, semakan BPR menunjukkan pengkalan data JPJ di Pelabuhan Kelang tidak seragam dengan rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Jadi kita sedang menyemak secara teliti dan kita juga telah menyoal siasat pihak-pihak yang terlibat dan kita akan mengenal pasti apakah puncanya (perbezaan maklumat)," tambahnya.
BPR, katanya, sedang menyiasat kereta yang diseludup masuk dari sebelah selatan negara dan beberapa lokasi lagi.
"(Kereta itu) dibawa masuk dan dibuat satu proses pendaftaran. Kita panggil “reborn”, dilahirkan secara sah walaupun ia dibawa masuk secara haram," katanya.
Ditanya sama ada melibatkan "orang dalam" di dua jabatan tersebut, Abu Kassim berkata: "Saya tak akan bagi terperinci, biar kita selesaikan siasatan."
