MIC mempertikaikan pemilihan kakitangan sokongan bahagian penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang meminggirkan kaum bukan bumiputera.
Ahli jawatankuasa pusat parti Murugesan Sinnandavar berkata tidak sampai dua peratus calon bukan bumiputera daripada 751 orang yang berjaya diterima sebagai 'pembantu penguatkuasa gred N17'.
Daripada jumlah itu, 10 orang atau 1.3 peratus sahaja calon berketurunan India, tambahnya.
Kakitangan kumpulan sokongan ini selalunya diisi oleh pemohon yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dan kebanyakan mereka datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah atau kumpulan bawah pertengahan.
Katanya, selalunya mereka tidak menyambung pelajaran lagi selepas SPM bagi mencari pekerjaan untuk membantu keluarga.
"Bagaimana kerajaan boleh mengurangkan masalah sosio-ekonomi yang dihadapi kaum India jika hanya sedikit di kalangan belia mereka ditawarkan peluang pekerjaan?" kata Murugesan dalam kenyataan hari ini.
"Pengangguran dalam kalangan belia India kian meningkat dan belia menganggur bawah 21 tahun mudah terbabit dalam kegiatan tidak sihat yang boleh merosakkan diri mereka dan masyarakat."
Tambahnya, jawapan lazim yang diberikan kerajaan setiap kali isu seumpama ini dibangkitkan adalah "jumlah pemohon bukan bumiputera tidak mencukupi."
Bagaimanapun, kata Murugesan lagi, maklum balas Pemuda MIC di peringkat bahagian menunjukkan ramai belia India yang memohon bekerja dengan kerajaan tetapi mereka tidak dipanggil untuk temuduga.
"Kepada yang dipanggil pula, peratusan yang berjaya pula sangat kecil," katanya.
JPJ dan jabatan-jabatan kerajaan harus lebih telus dalam hal ini dengan menyiarkan senarai pemohon pekerjaan dan mereka yang berjaya di internet.
