|
Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah sepakat dalam menentukan masa yang terbaik untuk penyerahan kuasa.
"Saya dan Datuk Seri Najib dah tentukan bila masanya yang sesuai bagi saya menyerahkan jawatan kepada beliau. "Kami tiada masalah dan hubungan kami berdua adalah baik," katanya.
Abdullah yang juga presiden Umno menegaskan demikian ketika berucap di majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan.
Menurut laporan Bernama, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa hubungannya dengan Najib sememang terjalin baik tanpa sebarang masalah antara mereka berdua. Perdana menteri membangkitkan perkara itu berikutan masih ada pihak yang sangsi hubungan antara beliau dan timbalannya itu termasuk ditimbulkan oleh pemimpin Umno Kelantan dalam mesyuarat badan perhubungan Umno negeri itu hari ini. Abdullah yang juga presiden Umno berkata "bila tiba masanya nanti" penyerahan kuasa itu akan pasti berlaku. Terdahulu, sejurus tiba di negeri itu, Abdullah mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri selama dua jam. Elak spekulasi
Abdullah juga berkata sewajarnya semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baiknya dengan Najib kerana ia tidak memberikan sebarang faedah. "Yang penting semua perlu melihat hubungan kami berdua adalah untuk menguatkan parti dan kerajaan serta program pembangunan yang telah dirancang selama ini," katanya. Perdana menteri turut menghargai sokongan semua pihak kepada beliau untuk terus memimpin parti dan negara dan berjanji bekerja lebih kuat demi kepentingan parti, kerajaan dan rakyat seluruhannya. "Saya amat menghargai sokongan terhadap saya dan kalau beri sokongan kuat dan padu seperti ini, saya akan terus bekerja dengan lebih kuat untuk parti dan kerajaan," katanya. Beliau berkata walaupun sokongan rakyat seluruhannya semakin merosot seperti diterjemahkan pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, Abdullah meminta penyokong Umno tidak patah semangat. "Sebagai pejuang, jangan kita patah semangat demi untuk agama dan bangsa kita dan istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang ini. "Pantang undur sebelum menyerah dan pejuang ini perlu berjuang. Kalau patah hati, tak payah berjuang, biarlah tunggu mati sahaja," katanya. Abdullah berkata kerajaan yang ada pada hari ini, sebenarnya tidak lemah walaupun BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum lalu.
'Kita boleh pulih'
"Kerajaan yang ada perlu memikirkan sokongan majoriti yang menyokong kita dan majoriti ini mahukan kita terus berjuang," kata Abdullah.
Perdana menteri yakin Umno akan kembali kuat selepas ini kerana masalah yang berlaku pada hari ini "sesuatu yang lumrah". "Saya percaya kita boleh pulih dan kembali kepada kekuatan yang asal. Memang ada masa kita hilang kerusi dan ketika ini timbul kemarahan pelbagai pihak tetapi ia tidak akan selama-lamanya," katanya. Beliau berkata kerajaan pusat sama sekali tidak akan menganaktirikan negeri yang diperintah pembangkang termasuk Kelantan kerana tidak mahu rakyat terus terseksa dan memerlukan pembelaan kerajaan. "Kita mahu bantu mereka yang kurang berkemampuan dan untuk itu jangan biarkan kita berasa lemah dan tidak bermaya untuk membantu mereka," katanya. Lawatan Abdullah kali ini yang pertama selepas pilihanraya umum lalu untuk memberikan penjelasan kepada pemimpin dan rakyat terhadap senario politik terkini. Selepas solat Jumaat, Abdullah melancarkan Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara. |