|
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah akan memberi penerangan kepada ketua-ketua cawangan dari seluruh Pahang, di Mentakap, Pahang petang esok.
Majlis tersebut mengumpulkan semua ketua cawangan dari seluruh Pahang dan merupakan gerakan akar umbi untuk menuntut perubahan dalam kepimpinan Umno. Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang sebelum ii telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti Disember depan.
Ini ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN), khususnya Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu. BN kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan selangor. Dalam pilihanraya tersebut, BN menang 140 kerusi Parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Umno sendiri kalah 30 kerusi Parlimen dan hanya mampu mempertahankan 79 daripada 109 kerusi yang dimenangi pada 2004. Pengerusi penganjur majlis tersebut, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, keputusan pilihanraya umum 2008, dengan jelas menunjukkan rakyat menolak kewibawaan Umno dan Barisan Nasional (BN). Pertahan maruah
Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkannya sebagai satu penafian pimpinan, setelah mendapat mandat besar dari pengundi pada 2004.
"Satu perubahan kepimpinan (adalah) perlu, untuk mengembalikan kehormatan, keyakinan rakyat terhadap perjuanagan Umno," katanya.
Ahmad Tajuddin berkata, ia juga untuk mempertahankan maruah, martabat bangsa, agama dan negara.
Beliau yang juga ketua Umno bahagian Paya Besar, merupakan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Pahang.
Beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut ekoran tekanan ke atas selepas membuat kenyataan menggesa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno meletakkan jawatan.
Dalam kenyataannya April lalu, Ahmad Tajuddin menggesa ahli-ahli MT meletak jawatan sejajar dengan Fasal 9.11 Perlembagaan Umno susulan kekalahan terus parti dalam pilihanraya umum 8 Mac.
Fasal tersebut menyebut, jika semua ahli MT berhenti serentak, pengerusi tetap atau timbalannya perlu mengadakan perhimpunan agung khas bagi menubuhkan semula MT dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari. Letak jawatan Ahmad Tajuddin kemudiannya dipanggil oleh ketua perhubungan Umno negeri, yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu.
Beliau dilaporkan berkata peletakan jawatannya itu sejajar dengan gesaannya agar ahli MT Umno bertanggungjawab terhadap pencapaian buruk parti itu.
"Saya merupakan pemimpin rantaian daripada MT sedia ada, jadi biarlah saya bertanggungjawab dengan meletak jawatan dulu," katanya.
Ahmad Tajuddin, yang memegang jawatan itu sejak 1999, berkata peletakan jawatannya juga tidak didorong oleh tekanan pihak lain dan juga bukan kecewa selepas tidak terpilih sebagai calon pada pilihanraya umum ke-12.
Sementara itu, Malaysiakini difahamkan bahawa terdapat pihak-pihak yang sengaja menghebahkan bahawa perhimpunan esok telah dibatalkan atau telah ditukar tarikh dan tempatnya. |