Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan semua dakwaan kononnya beliau "mengugut" hakim-hakim supaya menyebelahi kerajaan semasa beliau memimpin negara, bertujuan menutup mulutnya daripada terus bercakap.
Katanya, walaupun faham dengan maksud dakwaan hakim-hakim itu, namun beliau tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus menulis bagi menjawab semua pertuduhan itu dalam laman blognya.
"Ini, dari satu sudut adalah cara mereka boleh menghentam saya kerana terus bercakap, tapi saya tidak akan berhenti. Saya akan terus menulis dalam blog saya," katanya kepada pemberita semasa beliau melakukan lawatan peribadi di Langkawi semalam.
Dr Mahathir seterusnya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri segala dakwaan terhadapnya, demikian menurut laporan Bernama.
Ditanya sama ada beliau bercadang untuk mengambil tindakan berhubung dakwaan itu jika ia berunsur fitnah, beliau berkata: "Saya nak bawa ke mahkamah mana?Saya bukan ada duit dan tak tau boleh menang atau tidak".
Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian Chin membuat dakwaan tersebut sebelum mendengar petisyen pilihanraya yang difailkan calon DAP bagi Parlimen Sarikei, Wong Hua She, awal minggu lalu.
Beliau mendakwa, mantan perdana menteri itu membuat ugutan tersebut sewaktu persidangan hakim pada 24 April 1997
‘Pertahan diri'
Chin juga mendedahkan bahawa hakim-hakim telah dihantar ke pusat indoktrinasi dan diancam akan dipecat jika mereka gagal membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan.
Semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Chin membuat laporan polis berhubung dakwaannya terhadap Dr Mahathir itu.
Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor dilaporkan berkata, Chin tidak harus melindungi diri dengan bersembunyi di belakang kekebalan diberikan kepada hakim-hakim di bawah undang-undang dengan hanya mendedahkannya di mahkamah.
Katanya, Chin harus beri peluang kepada Dr Mahathir untuk mempertahankan diri dengan membenarkan polis menyiasat perkara itu.
Karpal juga meminta polis dan pejabat Peguam Negara memberi keutamaan tertinggi untuk menyiasat dakwaan terbaru ini dan berkata beliau akan menimbulkan perkara itu dalam sidang parlimen akan datang mulai 23 Jun.
Beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan perhatian peribadi tentang dakwaan terhadap Dr Mahathir itu dan menambah, apa yang berlaku tidak boleh dikesampingkan begitu saja.
Rabu lalu, Abdullah berkata, kerajaan tidak nampak kewajaran menubuhkan sebuah lagi suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan itu kerana beliau telahpun memutuskan untuk melakukan pembaharuan dalam badan kehakiman.
