Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur telah ditahan oleh pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sarawak atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM925,000.
Mohamad Hamdan Wahid ditahan pada jam 10.55 malam Rabu lalu di Putrajaya dan ditahan reman sehingga 16 Jun untuk membantu siasatan.
Akhbar Borneo Post melaporkan hari ini bahawa Pengarah BPR Sarawak, Mohamed Yusoff Akope telah mengesahkan tangkapan tersebut.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Hamdan didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 2003 ketika bertugas sebagai pegawai pembangunan bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.
Katanya, oleh kerana kesalahan tersebut didakwa berlaku di Sarawak, maka pihaknya mempunyai kuasa untuk menahan Hamdan, walaupun sudah bertukar ke negeri lain. Sebagai dorongan
Beliau menjelaskan demikian apabila ditanya mengapa BPR Sarawak yang menahan Hamdan, sedangkan dia bertugas di Kuala Lumpur.
Hamdan didakwa menerima wang tersebut dari sebuah syarikat tempatan sebagai satu dorongan supaya menyokong satu cadangan bagi membina sebuah blok pejabat dan bengkel untuk jabatan berkenaan di Kuching, dan juga terbabit dalam beberapa projek berkaitan yang lain.
"Kami menerima maklumat dari orang ramai berhubung dakwaan tersebut dan memulakan siasatan kira-kira tiga bulan lalu," kata Yusoff.
Beliau berkata, BPR dijangka menghadapkan Hamdan ke mahkamah tidak lama lagi mengikut Seksyen11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Yusoff juga berkata, memandangkan kedudukan Hamdan, maka ia dianggap sebagai salah satu kes berprofail tinggi di Sarawak.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites