Usaha penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Pakatan Rakyat mungkin mempunyai unsur-unsur sogokan supaya mereka melompat parti, kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.
Bernama juga memetik beliau sebagai berkata, usaha bekas timbalan perdana menteri itu lebih kepada perang saraf.
Mukhriz bagaimanapun yakin ahli Parlimen BN tetap setia bersama parti walaupun mereka pernah menyuarakan perkara-perkara kritis terhadap kerajaan.
Beliau menegaskan demikian di Jerlun, ketika diminta mengulas usaha Anwar Ibrahim menarik ahli Parlimen dari MCA dan Umno menyertai pakatan pembangkang itu, demikian menurut laporan Bernama.
Sebelum ini, Mukhriz menghadiri majlis doa selamat sempena 100 hari menjadi ahli Parlimen Jerlun dan merasmikan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerlun di Padang Sera, 40 kilometer dari Alor Star malam
tadi.
Anwar sebelum ini berkata tarikh ahli Parliman BN untuk menyertai Pakatan Rakyat kekal sepertimana yang dirancangkan pada pada 16 September depan.
Khabar angin bertiup kencang minggu kebelakangan ini mendakwa 14 ahli Parlimen BN Sabah, 14 Sarawak dan lapan Umno, akan melompat menyertai Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat memerlukan sokongan 30 ahli Parlimen BN untuk mengambil alih kerajaan pusat.
MP Umno
Semalam, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, mendakwa, dua parti politik Umno sedang menimbang untuk keluar dari BN, untuk membantu menubuhkan kerajaan baru.
Beliau dilaporkan berkata, perbincangan sedang berjalan, bukan sahaja dengan MCA tetapi juga dengan Umno dan lain-lain parti komponen BN.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan enggan memberi butir-butir lanjut mengenai jumlah ahli Parlimen BN terbabit "atas sebab-sebab keselamatan mereka".
Katanya, sesetengah daripada mereka terpaksa terbang senyap-senyap ke negara jiran untuk mengadakan perbincangan (dengannya).
Oleh itu, kata Anwar, adalah merbahaya jika beliau mendedahkan sebarang nama sekarang.
Menurut Anwar lagi, pengumuman mengenai ahli Parlimen BN menyertai Pakatan akan hanya didedahkan ketika Parlimen sidang.
