Jumlah pelajar keturunan India yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini meningkatkan seramai 300 orang.
Bagaimanapun, jumlah kemasukan pelajar keturunan India ke program pengajian kompetatif merosot 15 orang - daripada 314 tahun lalu kepada 299 calon yang ditawarkan tahun ini.
Program pengajian kompetitif itu adalah bagi bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan elektronik, kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, undang-undang dan perakaunan.
Pada keseluruhannya, seramai 2,750 orang pelajar keturunan India dipilih tahun ini, berbanding 2,447 orang tahun lalu.
Manakala jumlah keseluruhan pelajar IPTA ialah seramai 40,184 orang yang terdiri daripada 24,989 pelajar Melayu (62.19%), Cina seramai 12,445 (30.97%) dan India (6.84 peratus).
Berbanding tahun lalu, jumlah pelajar Melayu tahun ini bertambah 65 orang manakala pelajar keturunan Cina kurang 300 orang.
Bagi program pengajian kompetitif pula, jumlah pelajar Melayu tahun ini merosot sebanyak 706 orang, iaitu daripada 3,960 orang tahun lalu kepada 3,254 tahun ini.
Pengambilan pelajar keturunan Cina bagi program pengajian kompetitif pula bertambah 12 orang, iaitu daripada 2,246 tahun lalu kepada 2,258 tahun ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi, pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA bagi dari kalangan lulus Sijil Persekolahan Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi dan kelulusan yang setaraf dengannya dibuat berasaskan prinsip meritokrasi.
Prinsip tersebut, katanya, ditentukan dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah ko-kurikulum.
Bercakap dalam satu sidang media hari ini,beliau berkata, seramai 67, 143 calon memohon untuk mengikuti program ijazah pertama bagi tahun ini.
"Dari bilangan ini, 53,504 calon mencapai kelayakan minimum iaitu nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas serta memenuhi syarat am permohonan ke IPTA," katanya.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites