-    +  
Adjust font size:
'MB S'gor bukan jurucakap BPR'
Jun 24, 08 5:34pm
dikemaskini Menteri besar Selangor menafikan dakwaan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat hari ini bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bercakap "bagi pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR)".

Menteri besar itu, yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak, pernah berkata pada 11 Jun lalu bahawa siasatan terhadap pegawai kanannya Mohd Yahya Mat Sahri "telah selesai dan tidak mempunyai unsur rasuah".

Abdul Khalid menjelaskan hari ini, kenyataannya dulu selepas menerima surat badan itu.

"Dakwaan bahawa menteri besar Selangor membuat kenyataan bagi pihak BPR adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata surat pengarah BPR Selangor juga mencadangkan isu-isu berhubung ketelusan dan penanggungjawaban khususnya prosedur surat-menyurat dan pengeluaran surat sokongan.

Dalam sesi soal jawab pagi tadi, Khairy mendakwa wakil rakyat PKR itu mengeluarkan kenyataan bagi pihak badan tersebut berhubung siasatan terhadap pegawainya itu.

Tambah naib ketua Pemuda Umno itu, BPR sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Menjawab soalan tambahan Khairy, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan bahawa badan itu tidak pernah berbuat demikian.

Abdul Khalid berkata, beliau telah cuba menggunakan peraturan dewan untuk menjawab dakwaan Khairy tetapi tidak dibenarkan oleh timbalan yang dipertua.

Pengerusi perhubungan PKR itu juga berkata kerajaan Selangor menjemput BPR menempatkan seorang pegawainya bagi membuat siasatan lanjut di pejabat menteri besar dalam surat jawapan 16 Jun lalu.

Yahya digantung tugasnya sebagai pegawai tugas-tugas khas Abdul Khalid mulai semalam selama dua bulan sementara siasatan sedang dijalankan.

Beliau bagaimanapun mengambil keputusan meletakkan jawatan tersebut, dan juga melepaskan jawatan setiausaha perhubungan PKR negeri.


Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner