Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komisyen stesen minyak dinaikkan
Diterbitkan:  Jun 25, 2008 8:36 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Kadar margin (komisyen) pengusaha stesen minyak bagi produk petrol dan diesel dinaikkan, masing-masing daripada 9.5 sen dan 4.5 sen seliter kepada 12.19 sen dan tujuh sen seliter berkuatkuasa hari ini, kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan membantu pengusaha stesen minyak yang menerima kesan negatif berikutan penstrukturan semula subsidi petrol dan diesel 5 Jun lalu.

Katanya kerajaan mengawal harga runcit petrol dan diesel di stesen minyak dengan menggunakan kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) yang turut mencakupi margin pengusaha stesen minyak, demikian menurut laporan Bernama .

"Selepas penstrukturan semula, peratusan margin pengusaha menjadi semakin kecil menyebabkan mereka tidak dapat menampung kos operasi stesen minyak. Ia boleh menjejaskan pembekalan petrol dan diesel untuk kegunaan orang ramai," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memutuskan pelaksanaan Sistem Khidmat Layan Diri (SKLD) di semua stesen minyak berjenama di seluruh negara kecuali stesen minyak mini tanpa jenama di luar bandar berkuatkuasa 1 Ogos tahun ini.

"Waktu operasi bagi semua stesen minyak di seluruh negara adalah dari jam 6 pagi hingga 12 malam, berkuatkuasa 1 Julai depan. Bagaimanapun, semua pengusaha boleh memohon kepada pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di negeri-negeri sekiranya ada keperluan untuk beroperasi selama 24 jam," katanya.

Shahrir berkata stesen minyak yang beroperasi di lebuh raya bagaimanapun dibenarkan beroperasi 24 jam.

Sementara itu, pada satu sidang media di sini hari ini, Shahrir berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Kewangan semalam dan kenaikan komisyen jualan petrol serta diesel itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuklah pemeruapan, penggunaan caj kad kredit dan penggunaan caj fleet kad dan yuran lesen operasi.

Permintaan PDAM

"Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) telah lama meminta untuk kenaikan itu dan kementerian telah meneliti semua permintaan daripada PDAM dan hanya tinggal isu caj kad kredit," katanya.

Shahrir turut mencadangkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) supaya caj satu peratus ke atas pembelian petrol dan diesel menggunakan kad kredit dapat dikurangkan.

Beliau berkata pihaknya masih lagi berbincang dengan BNM bagi mencapai tujuan itu.

"Para pegawai saya masuh berbincang dengan bank. Kita (kementerian) telah berunding banyak kali dan saya harap Bank Negara akan dapat membantu kita dalam memujuk bank-bank untuk menurunkan caj terhadap pembelian petrol dan diesel.

"Ini adalah kerana petrol dan diesel ini adalah barang kawalan dan ia ditetapkan oleh kerajaan di mana keuntungannya juga turut ditetapkan kerajaan. Jadi ia bukanlah satu bahan atau perkara yang boleh diletakkan harga oleh peniaga," katanya.

Beliau berkata bank-bank perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat serta pengusaha stesen minyak dan tidak hanya mengharapkan faedah daripada kenaikan harga petrol.

"Dalam keadaan sekarang kita perlulah sama-samalah menanggung beban dan sepatutnya sekarang mereka (BNM) patut meminta bank-bank komersial yang memegang kredit kad untuk mengurangkan caj satu peratus itu.

"Kalau ikut saya setengah (0.5 peratus) pun cukup. Ini boleh membantu semua stesen minyak dalam masa yang susah dan dalam usul yang kita (kementerian) bawa di Parlimen baru-baru ini, kita minta supaya sama-sama bukan sahaja kerajaan berbelanja lebih, bukan sahaja rakyat menanggung harga yang tinggi, tetapi juga syarikat-syarikat termasuk bank untuk sama-sama menanggung beban daripada keadaan yang mencabar hari ini," katanya.

ADS