Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekuiti korporat bumi hanya naik 0.5%
Diterbitkan:  Jun 26, 2008 6:13 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Pemilikan ekuiti sektor korporat bagi bukan Bumiputera telah meningkat kepada 43.9 peratus pada 2006, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Ia meningkatkan sebanyak 3.3 peratus berbanding 40.6 peratus pada tahun 2004.

Manakala pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat meningkat kepada 19.4 Peratus pada 2006 - naik 0.5 peratus berbanding 18.9 peratus pada 2004.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata, langkah akan dilaksanakan ke arah merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan Bumiputera menjelang tahun 2020 dalam menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan.

Menurut Bernama, antara penekanannya ialah memastikan Bumiputera mempunyai kawalan kepentingan dalam syarikat swasta, katanya ketika membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Dewan Rakyat hari ini.

"Golongan Bumiputera akan digalakkan untuk melabur dalam sektor pertumbuhan baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi, fotonik, nanoteknologi, pembuatan termaju dan kejuruteraan kepersisan," katanya.

Latihan kemahiran

Selain itu, Abdullah berkata peranan institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji akan diperkasakan lagi.

Graduan Bumiputera yang berbakat dan mempunyai idea kreatif dan inovatif juga akan diberi modal bagi mengkomersilkan idea mereka, sementara sebuah pangkalan data akan dibina bagi tujuan memantau prestasi golongan Bumiputera dalam sektor korporat.

Menurut Abdullah lagi, kesan pertumbuhan ekonomi serta langkah kerajaan memperbaiki ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif telah berjaya mewujudkan suasana pembangunan ke arah "pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama" serta mendorong peningkatan dan pengagihan saksama peluang bermutu untuk semua rakyat Malaysia.

Abdullah juga mengumumkan bahawa bantuan akan diberikan kepada masyarakat India untuk meningkatkan pemilikan ekuiti melalui skim unit amanah.

Katanya dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan etnik India kepada 1.5 peratus menjelang tahun 2010, usaha akan dijalankan bagi meningkatkan akses kepada program latihan kemahiran dan keusahawanan.

Walau pun peratusan pemilikan etnik India menurun sedikit daripada 1.2 peratus kepada 1.1 peratus, namun dari segi nilai mutlak, tahap pemilikan etnik India telah meningkat sebanyak RM575.2 juta atau 9 peratus dalam tempoh tersebut, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS