Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau merayu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menimbang semula peruntukan untuk memulakan pengambilan balik tanah bagi projek monorel dan Jalan Lingkaran Luar (PORR) di Pulau Pinang.
Langkah tersebut, kata pemangku presiden Gerakan, akan membolehkan proses pengambilan itu dimulakan sebaik sahaja sistem dan jajaran kedua-dua projek tersebut dipersetujui oleh ketua menteri dan kerajaan Pulau Pinang.
Dr Koh yang juga bekas ketua menteri berkata, beliau membuat rayuan tersebut kepada perdana menteri sewaktu mesyuarat majlis tertinggi BN malam tadi.
Katanya, Gerakan sentiasa menyokong pelaksanaan PORR sebagai infrastruktur untuk mengatasi masalah lalulintas dan sistem monorel sebagai tulang belakang sistem pengangkutan awam di bahagian pulau negeri tersebut.
"Kedua-duanya amat penting bagi pembangunan ekonomi dan kualiti hidup di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua tahun lalu, kerajaan negeri yang ditadbir BN telah bersetuju dengan jajaran bagi projek PORR.
Perbincangan aktif
"Kita telah mengadakan perbincangan aktif dengan kerajaan pusat mengenai jajaran dan sistem untuk projek monorel tersebut.
"Peruntukan tertentu telah disediakan bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) oleh kerajaan pusat pada 2006 untuk tujuan pengambilan balik tanah dan kos awal yang lain bagi kedua-dua projek tersebut," katanya.
Bagaimanapun, tegas Dr Koh, laporan media sejak tiga bulan yang lalu memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri yang baru bawah Pakatan Rakyat mempunyai idea berbeza mengenai kedua-dua projek tersebut.
"Pertamanya, mereka nampaknya lebih suka mendengar badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu projek PORR.
"Kedua, mereka juga nampaknya mempunyai idea yang bercanggah mengenai jenis sistem transit cepat yang sesuai untuk Pulau Pinang," tegasnya.
Sebelum itu, katanya, ketua menteri kini Lim Guan Eng telah menyatakan beliau cenderung kepada sistem pengangkutan bawah tanah yang "juga boleh menangani masalah banjir".
Isyarat mengelirukan
Kemudian, kata Dr Koh lagi, Lim mengadakan satu sidang akhbar bersama dengan sebuah syarikat yang membida projek monorel menggunakan sistem laluan atas.
Katanya, Lim telah memberi gambaran bahawa beliau menyokong bidaan tersebut, walaupun kerajaan pusat masih dalam proses atau sedang menilai bidaan-bidaan lain.
Tindakan Lim tersebut, tambahnya, mungkin menghantar isyarat mengelirukan kepada kerajaan pusat.
"Ini kerana bagi projek-projek persekutuan, kerajaan pusat biasanya mengambil kira pandangan-pandangan dan memerlukan kerjasama rapat dari kerajaan negeri.
Oleh itu, tegas Dr Koh, penting bagi kerajaan Pulau Pinang memutuskan apa yang dikehendakinya berhubung kedua-dua projek tersebut, kemudiannya bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat.
