dikemaskini 3:28pm Pertandingan ketua Umno bahagian Hulu Terengganu akan menyaksikan pertembungan antara penyokong bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dengan penyokong menteri besar sekarang Datuk Ahmad Said.
Ketua bahagian Datuk Tengku Putera Tengku Awang diramalkan akan dicabar oleh ahli parlimen kawasan itu Mohd Nor Awang, menurut satu sumber Umno bahagian.
Tengku Putera mempunyai hubungan dekat dengan Ahmad, manakala Mohd Nor pula rakan rapat bekas exco kerajaan Datuk Rosol Wahid, yang dikenali penyokong kuat Idris.
Mesyuarat di peringkat bahagian pertengahan bulan lalu telah mengambil keputusan bahawa jawatan ketua bahagian tidak akan dipertandingkan.
Namun, beberapa hari lalu, nama ahli parlimen itu mula muncul sebagai pencabar Tengku Putera, kini speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Malaysiakini difahamkan, setakat ini, Mohd Nor telah bersetuju melawan tokoh utama di bahagian tersebut yang menyandang jawatan tersebut sejak 1995.
Penyokong Rosol bagaimanapun masih berharap beliau terus mencabar Tengku Putera, seorang bekas timbalan menteri kewangan dalam pemilihan parti, September ini.
"Rosol memerlukan jawatan itu untuk masa depan politiknya setelah terpinggir berikutan ketuanya Idris tidak lagi menjadi menteri besar,” kata satu sumber lain Umno bahagian kepada Malaysiakini.
"Manakala Tengku Putera digugurkan dari bertanding dalam pilihanraya umum lalu kini bergantung harap kepada jawatan ketua bahagian untuk menuruskan kerjaya politiknya."
Sumber itu berkata, persaingan antara mereka berdua sudah lama tetapi semakin menyerlah apabila Tengku Putera digugurkan daripada jawatan timbalan menteri kewangan pada 2006.
Ada pihak mendakwa itu semua, antaranya, permainan Rosol yang meminta Idris mencadangkan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Tengku Putera digugurkan daripada jawatan tersebut.
"Kemarahan Tengku Putera terhadap Rosol semakin bertambah apabila namanya tidak disenaraikan dalam pilihanraya umum lalu," kata sumber itu lagi.
Menurut sumber itu, pengguguran Tengku Putera didakwa akibat pengaruh Rosol, waktu itu setiausaha badan perhubungan Umno, yang ingin mengangkat kawan baiknya itu Mohd Nor di kerusi parlimen Hulu Terengganu.
Sementara itu, menurut sumber itu lagi, Tengku Putera dikatakan merancang strategi menyingkirkan Rosol sebagai ahli dewan undangan negeri Ajil dalam pilihanraya umum akan datang dengan seorang muka baru.
Manakala Tengku Putera sendiri akan mengambil semula tapak lamanya di kerusi dewan undangan negeri Telemong, sekaligus akan menyaksikan exco pertanian negeri Rozi Mamat terpaksa berpindah ke kerusi parlimen.
Dihubungi Malaysiakini sebentar tadi, Rosol berkata beliau tidak berminat bertanding "demi perpaduan Umno bahagian."
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites