Hospital Kuala Lumpur menafikan pernah mendedahkan keputusan pemeriksaan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang membuat laporan polis mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, lapor Bernama , pengarah hospital itu Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata HKL tidak menghebahkan maklumat atau membuat sebarang rumusan mengenai pemeriksaan terhadap pemuda itu yang pernah dekat dengan pentadbiran pejabat penasihat PKR itu.
"Kami patuhi semua prosedur dalam mengendalikan secara profesional kes seperti ini," beliau dipetik sebagai berkata.
Akhbar itu melaporkan, doktor-doktor di hospital itu menemui tanda-tanda pemuda itu pernah terlibat dengan seks melalui dubur.
Para doktor juga dilaporkan mengambil sampel najis untuk siasatan lanjut.
Dipercayai, lapor akhbar itu lagi, Mohd Saiful mengadu mengalami kesukaran membuang air besar apabila pemuda itu dibawa sebagai pesakit luar di HKL.
Doktor bagaimanapun berasa janggal ketika pemeriksaan dan selepas menyoal Mohd Saiful mendapati beliau pernah diliwat.
Akhbar itu juga memetik kenyataan timbalan ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar yang menyebut kes itu dikelaskan sebagai liwat.
Difahamkan, lapor akhbar berbahasa Inggeris itu lagi, polis mengkelaskan kes tersebut selepas menerima laporan perubatan dari hospital tersebut.
