Rombakan badan perhubungan Umno Terengganu semalam memberi isyarat bahawa para penyokong kuat bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh semakin dipinggirkan daripada arus politik negeri tersebut.
Menteri besar Datuk Ahmad Said dipercayai cuba mengukuhkan pengaruhnya melalui usaha melantik penyokongnya memegang jawatan-jawatan penting dalam badan itu.
Ketua bahagian Umno Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dilantik sebagai setiausaha badan perhubungan, senator Datuk Ruslan Awang Chik (bendahari) dan Datuk Zuber Embong (ketua penerangan).
Rosli mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Rosol Wahid, manakala Ruslan menggantikan bekas exco kerajaan negeri Datuk Wan Hisham Salleh.
Zuber pula menggantikan Datuk Ahmad Shabbery Cheek yang kini dilantik sebagai menteri penerangan.
Ahmad mengumum pelantikan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan di ibu negara malam tadi.
Ahmad juga mengumumkan, pelantikan lain bagi mengisi beberapa lagi jawatan dalam kepemimpinan Umno negeri akan dibuat selepas mesyuarat badan tersebut 12 Julai ini.
Rosol dan Ahmad Shabbery meletakkan jawatan masing-masing sebaik sahaja Idris melepaskan jawatan sebagai ketua badan perhubungan Umno negeri bulan lalu.
Pelantikan mengejutkan
Manakala Wan Hisham, yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Kuala Terengganu, tidak dipilih semula mengekalkan jawatan bendahari.
Pelantikan Rosli tidak mengejutkan kerana bekas ahli parlimen Dungun itu merupakan penyokong kuat Ahmad, khususnya semasa berlakunya krisis pelantikan menteri besar, Mac lalu.
Dalam krisis tersebut, Rosli merupakan antara beberapa ketua bahagian yang tampil menyokong Ahmad sebagai menteri besar yang mendapat restu istana Terengganu.
Selain Rosli, ketua bahagian Umno Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dan ketua bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, turut menyokong Ahmad dalam krisis tersebut.
Manakala Roslan memang sudah lama terpinggir daripada arus politik selepas presiden persatuan kontraktor Melayu Malaysia itu kalah di kerusi DUN Ladang dalam pilihanraya umum 1999.
Pelantikan Zuber pula agak mengejutkan kerana bekas ahli parlimen Kuala Terengganu itu sudah lama menyepi dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno bahagian.
Sebelum itu, Tengku Putera yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi parlimen telah dilantik menjadi speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Siapa tentang Idris?
Rombakan baru itu, yang dibuat kira-kira dua minggu menjelang mesyuarat cawangan Umno, juga memberi isyarat bahawa perubahan akan berlaku di peringkat bahagian.
Dijangka ketua-ketua bahagian yang menyokong Idris akan menghadapi tentangan sengit daripada kumpulan penyokong Ahmad.
Ketua bahagian Umno Kuala Terengganu, senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan ketua bahagian Setiu, Mohd Jidin Shafie yang merupakan penyokong Idris, dijangka ditentang oleh kumpulan Ahmad.
Malah, Zuber sejak beberapa bulan lalu telah disebut-sebut akan menentang Wan Ahmad Farid, bekas setiausaha Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri selepas pilihanraya umum lalu.
Persoalan yang menjadi perbualan ramai di kalangan ahli Umno negeri sekarang ialah adakah Idris juga akan dicabar di bahagian Besut.
Dalam pilihanraya umum lalu, ketua bahagian itu mempertahankan kerusi DUN Jertih tetapi tidak dipilih semua sebagai menteri besar Terengganu akibat krisis dengan istana Terengganu.
Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala peringkat bahagian pada September dan perhimpunan agung Umno pada Disember depan.
