-    +  
Adjust font size:
Putera Umno dakwa Anwar 'samseng jalanan'
Abdul Rahim Sabri | Jul 4, 08 5:14pm

Putera Umno menyifatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "samseng jalanan" dan bertindak melampaui batas dengan menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa, fakta-fakta yang digunakan oleh mantan timbalan perdana menteri itu adalah 'dakyah semata-mata'.

Dalam sidang akhbarnya semalam, kata Azeez, tindak-tanduk Anwar nampak seperti "samseng jalanan".

Sebaliknya, kata beliau lagi, Pemuda Umno bukan dayus atau takut tetapi mereka taat kepada parti dan taat kepada perdana menteri.

Sabtu lalu, pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis dengan mendakwa dia diliwat oleh Anwar beberapa kali, dengan yang terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabat di ibunegara hari ini, Azeez berkata, Anwar sepatutnya menggunakan saluran undang-undang yang sedia.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Anwar supaya berhenti membuat tuduhan dan fitnah yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Hantar memo bantahan

Katanya, biarlah mahkamah yang menentukan dan tidak perlu melibat negara asing.

Sehubungan itu, kata Azeez, pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat dan Turki.

Anwar telah berlindung di kediaman duta Turki, Barlas Ozener pada hari Ahad hingga Isnin petang lalu kerana mendakwa nyawanya dalam bahaya.

Manakala jurucakap Jabatan Negara Amerika, Tom Casey pula dilaporkan berkata, AS menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan bermotifkan politik terhadap Anwar.

Dalam kenyataan itu, Casey menegaskan, AS berpendapat bahawa perkara utama ialah undang-undang yang perlu dilaksanakan tetapi tidak boleh di bawah tekanan politik.

AS, katanya, menentang sebarang tindakan pendakwaan atau prosedur kehakiman selain daripada tindakan undang-undang yang sah.

Azeez juga bertanya mengapa Anwar tidak membuat laporan terhadap ketua polis negara dan peguam negara ketika dia dibebaskan dari penjara dahulu.

Bersumpah di Masjid Negara

Katanya, mengapa baru sekarang ketua umum PKR itu mahu membuat laporan terhadap mereka dan tindakan Anwar itu, menurut Azeez, "nampak sangat bercanggah".

Sehubungan itu, Azeez berkata, Putera Umno menyokong kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat - Anwar dan Saiful Bukhari Azlan - supaya ‘bermubahalah' atau bersumpah.

Mufti Perlis itu dilaporkan berkata Anwar dan Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: "Jika dia tidakmelakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."

Menurut Mohd Asri lagi mereka berdua juga hendaklah bersumpah dengan menyebut "Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya tidak melakukannya".

Mengulas perkara tersebut, Azeez berkata, pihaknya bersedia menjadi orang tengah untuk membolehkan Anwar dan Saiful bersumpah seperti yang disarankan oleh mufti Perlis tersebut.

Azeez menyarankan agar kedua-duanya bersumpah di Masjid Negara.

 

 

 



Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner