Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BPR akan panggil Gani dan Musa
Diterbitkan:  Jul 5, 2008 8:48 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan memanggil Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memberi keterangan berikutan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mereka memalsukan bukti "kes mata lebamnya" 10 tahun lalu.

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata badan itu akan memastikan siasatan dijalankan mengikut undang-undang, telus dan profesional tanpa mengira kedudukan individu yang terlibat.

"Sehingga kini BPR telah menyenarai lebih 10 nama termasuk Abdul Gani, Musa dan beberapa orang kenamaan yang disebut nama mereka dalam laporan Anwar itu untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Bangi hari ini.

Ahmad Said berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan badan itu ke atas laporan polis yang dibuat oleh ketua umum PKR itu Selasa lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar dalam laporannya mendakwa Musa, yang pada masa itu ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkannya dan Abdul Gani sebagai Timbalan Pendakwaraya paling kanan, telah memalsukan keterangan beliau dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada tahun 1998.

Ahmad Said berkata Musa dan Abdul Gani akan dipanggil BPR setelah kertas laporan mengenai dakwaan Anwar disiapkan.

"Kita akan buat siasatan terhadap kesemua yang terlibat daripada pelbagai sudut. Justeru itu kita memerlukan sedikit masa memandangkan siasatan ini memerlukan penelitian yang adil dan profesional," katanya.

Rabu lalu, Ahmad Said berkata Pengarah Siasatan BPR Datuk Mohd Shukri Abdull diberikan tanggungjawab mengetuai pasukan badan itu bagi menyiasat dakwaan Anwar berikutan tindakan polis menyerahkan laporan itu kepada BPR untuk disiasat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS