Selepas Pulau Pinang, kini Selangor pula memutuskan semua bahagian Umno di negeri itu akan mencalonkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti Disember ini.
Manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula kekal sebagai timbalan presiden Umno.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam satu kenyataan yang diedarkan di Pusat Media Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Umno bahagian seluruh Selangor bersetuju supaya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dicalonkan untuk mengekalkan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.
Katanya, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat ketua-ketua bahagian Umno seluruh Selangor dengan Badan Perhubungan Umno Selangor di Shah Alam malam tadi.
Umno Selangor mempunyai 22 bahagian. Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakilan yang terdiri daripada enam pemegang jawatan di peringkat bahagian dan tujuh lagi dipilih dalam mesyuarat.
Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober depan. Perhimpunan agung yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung pada 16-21 Disember depan.
Sebelum ini, Umno Pulau Pinang yang mempunyai 13 bahagian, telah menyatakan sokongan serupa kepada Abdullah dan Najib.
Menurut sistem kuota dalam Umno, calon untuk jawatan presiden perlu memperolehi 30 peratus pencalonan (58 dari 191 bahagian Umno), timbalan presiden 20 peratus (38 bahagian), naib presiden 10 peratus (19 bahagian) dan majlis tertinggi 5 peratus (10 bahagian).
Setakat ini, ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan kesediaannya untuk dicalonkan mencabar Abdullah bagi jawatan presiden Disember ini.
Negeri-negeri yang menjadi tumpuan kerana mempunyai jumlah perwakilan teramai ialah Johor - yang mempunyai 25 bahagian, Sabah (25), Perak (24), Kedah (15), Pahang (14) dan Kelantan (14).
