Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) menarik diri daripada menjadi pencelah dalam kes permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Ketua Paderi Kuala Lumpur.
Permohonan semakan kehakiman itu adalah berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan "The Herald-Catholic Weekly".
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Mubashir Mansor yang mewakili MAIAMP memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diarahkan oleh anak guamnya untuk menarik balik permohonan tersebut dengan kebebasan untuk memfailkan permohonan baru.
Permohonan MAIAMP itu tidak dibantah oleh peguam Porres Royan yang mewakili pemohon iaitu Ketua Paderi Kuala Lumpur Datuk Murphy Pakiam, yang menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden, demikian menurut laporan Bernama.
Hakim Lau Bee Lan membatalkan permohonan MAIAMP tetapi tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Mahkamah turut diberitahu oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), bahawa Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sudah memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah pada hari ini.
Lau kemudian menetapkan 21 November bagi sebutan permohonan semakan kehakiman dan untuk mendengar permohonan enam majlis agama Islam negeri dan Majlis Gurdwara Malaysia yang mewakili masyarakat Sikh untuk menjadi pencelah dalam kes semakan itu.
Enam majlis agama Islam negeri itu adalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), MAIS, MAIK dan MAIJ.
Bercakap kepada media di luar mahkamah kemudian, Mubashir berkata MAIAMP akan memfailkan semula permohonannya untuk menjadi pencelah secepat mungkin.
Porres pula berkata pihak pemohon membantah terhadap permohonan enam majlis negeri dan Majlis Gurdwara Malaysia untuk menjadi pencelah dan seterusnya dinamakan sebagai responden dalam kes tersebut.
Pada 5 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Ketua Paderi Kuala Lumpur untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan berkenaaan dalam surat bertarikh 12 Februari lalu.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites